Siasat salah guna wang TH, bukan pembocor maklumat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) berpendapat adalah lebih baik Ketua Polis Negara (KPN) membuka kertas siasatan menyiasat salah guna wang pencarum oleh Tabung Haji terlebih dahulu.

Pengerusinya, Datuk Sri Sanjeevan R menyatakan demikian berhubung kenyataan KPN yang mahu menyiasat pihak yang terlibat mendedahkan maklumat pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji.

Katanya, adalah sesuatu yang tidak masuk akal bilamana Tabung Haji membuat pembelian tanah pada kadar harga berlipat kali ganda.

Untuk makluman, jelasnya Tabung Haji telah membeli 1.5 ekar tanah berharga RM188 juta. Ia menjadi kontroversi kerana TH telah membuat pembelian 'terlebih bayar'.

Tambahnya, tanah yang dibeli oleh 1MDB pada harga RM64 per kaki persegi telah dibeli semula oleh TH pada harga RM2,773 per kaki persegi.

"Rakyat melihat pembelian atas nama pelaburan ini hanyalah untuk menyelamatkan 1MDB yang dibebani hutang berjumlah RM42 billion," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, kata beliau sekurangnya tiga individu iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Johan Abdullah dan Tan Sri Dr Abdul Samad Alias mempunyai kepentingan dalam TH dan 1MDB.

Menurut beliau lagi, ini bukan kali pertama TH mahu membuat pelaburan tidak masuk akal.

"Sebelum ini, kita dikejutkan dengan cadangan TH mahu melabur dalam projek perumahan di Detroit, Amerika.

"Yang mana Detroit merupakan sebuah bandar yang hampir muflis disebabkan kejatuhan industri kereta Amerika," katanya.

Kata beliau lagi, rumah di Detroit dilelong pada harga USD1,000 tetapi dengan beraninya TH mahu membuat pelaburan di sana yang akhirnya cadangan ini telah berkubur disebabkan bantahan ramai.

Justeru, ujar beiau MyWatch menggesa KPN lebih cakna kepada isu masalah yang lebih besar iaitu penyelewengan dana awam berbanding mahu menggunakan OSA kepada pihak pembocor maklumat. - HARAKAHDAILY 9/5/2015

Share on Myspace