Tabung Haji: Kebetulan wajah sama dengan di 1MDB

HARAKAHDAILY | .

Saya mengucapkan takziah kepada pencarum-pencarum Tabung Haji (TH) setelah mendapat perkhabaran tentang pembelian yang 'mengejutkan' oleh TH ke atas tanah milik 1MDB yang telah dijual kepada TH dengan harga RM188.5 juta dengan keluasan 1.56 ekar di Pusat Kewangan Tun Razak Exchange (TRX). Harga belian tanah itu oleh 1MBD seperti yang dilaporkan sebelum dijual kepada TH ialah sebanyak RM194.1 juta bagi tanah seluas 70 ekar!

Isu ini sangat sensitif kepada pencarum-pencarum yang terdiri kebanyakannya daripada rakyat sederhana dan miskin yang mengharapkan TH dapat merealisasikan impian mereka untuk menjadi tetamu Allah, lebih mudah difahami, duit itu bukan TH yang punya tetapi hanya menjadi pemegang amanah. Tetapi sayang, apabila amanah telah dianggap sebagai cabang mencari untung, maka inilah hasilnya.

Mereka tidak gentar dengan amaran Rasulullah berkaitan amanah ini yang mana Rasulullah menyuruh manusia menunggu saat kehancuran apabila amanah ini dianggap sebagai satu keuntungan.

Saya merasa hairan, bagaimana Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang begitu tegas menafikan kewujudan urusniaga ini tetapi kemudiannya dengan selambanya mengulas kembali bahawa ianya adalah salah komunikasi. Yang beliau nafikan ialah pembelian dua bidang tanah yang bernilai RM722 juta, tetapi bukan pembelian 1.56 ekar itu.

Sebegitu besar wang yang hendak dikeluarkan, tetapi pengerusi tidak tahu? Kemudiannya lagi, dikhabarkan kelulusan pembelian ini melalui ‘fast track’ dan hanya mengambil masa kira-kira dua minggu sahaja melalui menteri dan mesti dibayar secara penuh oleh TH. Laporan ini tidak pula Azeez nafikan.

Malah Timbalan Pengarah Urusan TH sendiri, Datuk Johan Abdullah hanya membuat laporan polis berkenaan bagaimana dokumen rahsia itu tersebar, bukan penafian kandungan dari blog itu. Ditambah pula, wajah-wajah penaung TH berkebetulannya sama wajah dengan penaung 1MDB, jelas urusniaga ini menimbulkan lagi pertanyaan.

Saya juga kesal dengan kenyataan angkuh Johan yang ‘mengungkit’ subsidi yang TH berikan kepada jemaah haji dari kos sebenar RM17,000 kepada RM9,980 sedangkan sumber utama kewangan TH adalah dari simpanan rakyat, dan wang itulah yang digunakan untuk membayar gaji dan bonus Johan selepas mendapat keuntungan perniagaan.

Amat jelas tujuan TH ialah untuk membantu jemaah haji, jadi kenapa mesti diungkit-ungkit seperti wang itu kepunyaan dia? Satu lagi pembodohan kepada rakyat.

Setelah 1MDB terpalit dengan pelbagai imej buruk berhubung dengan pengurusannya, maka dimana lagi kepercayaan rakyat akan diletakkan? Isu duit KWSP, duit Felda, GST, duit pencen, TH dan seumpamanya adalah duit rakyat yang diletakkan dibawah kelolaan golongan yang sentiasa merimaskan rakyat.

Dengan idea memanjangkan umur pengeluaran KWSP, kejatuhan nilai saham FGVH, GST yang menekan golongan miskin dan kini TH pula terpalit dengan isu pembelian tanah ini, maka seharusnya golongan yang ada menduduki tahta pengurusan semua itu turun secara baik.

Kebimbangan saya terhadap isu-isu ini sangat berasas kerana bukan sahaja ahli politik pembangkang yang menentang, malah orang dalam Umno juga seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan 1MDB dan ikonnya Jho Low yang masih bebas bersuka ria, orang tidak berparti seperti Dr Asri turut melahirkan kebimbangan dengan keadaan pengurusan negara sekarang dan paling terbaru ialah Sultan Johor sendiri yang mengatakan GST tidak masuk akal.

Jika orang-orang besar ini telah jelas menunjukkan penentangan mereka, maka apakah orang bawah atau rakyat tidak dapat membaca maknanya?

Oleh itu saya sependapat dengan sahabat saya Ahli Parlimen Temerloh agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini kerana ianya jelas melibatkan kepentingan rakyat terbanyak dan paling menyedihkan ianya berlaku ke atas TH, institusi yang paling diharap amanahnya, bersih ribanya dan seperti yang digagaskan oleh Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, ianya bagi membantu membangunkan kembali ekonomi golongan berpendapatan rendah agar tidak menjual harta mereka bagi mengerjakan haji dan agar tetap mempunyai harta setelah pulang dari mengerjakan haji.

Jangan nanti kita mendengar pula pengumuman dari TH bahawa kuota jemaah haji kita dikurangkan atas sebab itu dan ini tetapi sebaliknya, tabung yang kita harapkan itu sebenarnya telah ‘bocor’ maka akibatnya bilangan jemaah haji dikurangkan. Nauzubillah.

USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
20 Rejab 1436 bersamaan 9 Mei 2015

Share on Myspace