Percayalah, kita dapat pelihara PAS - Presiden

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang percaya Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (Ilham) yang ditubuhkan oleh PAS dapat memelihara parti itu dalam masyarakat.

Presiden PAS itu menyatakan demikian ketika berucap pada Konvokesyen Ilham ke-12 di Dewan Datuk Fadzil Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), tengah hari ini.

Katanya, PAS menubuhkan Ilham untuk memberikan kefahaman dalam perkara agama dan menterjemahkan Islam dalam masyarakat.

"Percayalah, kita dapat pelihara PAS," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau juga mengingatkan para graduan dan hadirin supaya berwaspada dengan golongan yang menggunakan strategi baru iaitu Islam sekular dan Islam jihad.

Begitu juga, kata beliau pihak yang menyalahgunakan istilah siasah syariyyah, fiqh aulawiyat dan maqasid syariyyah dalam memperjuangkan Islam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib menerima Anugerah Presiden pada majlis konvokesyen itu.

Anugerah itu antara lain mengambil kira pencapaian akademik pelajar, komitmen dengan parti dan penglibatan dalam masyarakat. - HARAKAHDAILY 9/5/2015

Share on Myspace