Tabung Haji wajib sensitif dengan kebajikan penyimpan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tabung Haji adalah satu badan amanah menguruskan wang pendeposit, khususnya mereka yang ingin menunaikan haji, kata Presiden Murshid, Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Menurutnya, jumlah simpanan depsoit dari orang ramai berjumlah RM45.7 billion pada tahun 2013 yang semuanya wang pendeposit.

"Justeru, Tabung Haji wajib sensitif dengan kebajikan penyimpan dan tidak sewenang menggunakannya membeli aset dengan harga tidak bagus selain melibatkan syarikat kontroversi seperti 1MDB serta berisiko tinggi dan tidak pasti pula bentuk manfaat yang bakal diperolehi oleh pendeposit, tiada juga dibentang potensi risikonya terlebih dahulu," ujarnya menerusi facebook.

Katanya, jika syarikat senaraian awam, projek-projek sebegini, risiko projek sebegini mesti didedah kepada pemegang saham, namun bagi TH semua pendeposit adalah pemegang saham

Justeru, kata beliau mereka tidak boleh diabaikan dan kelulusan panel pelaburan yang turut diwakili pihak pendeposit mesti diperolehi.

"Tambahan pula, menurut kajian sebahagian pengkaji, pembelian itu pula tidak dengan harga yang bagus dan tidak begitu telus selain dikatakan wujud konflik kepentingan pengarah TH dan 1MDB, ini merosak imej institusi kewangan Islam dan bukan pula transaksi yang diberkati," ujarnya lagi.

Tambahnya, berbeza dengan KWSP yang lembaga pengarahnya mempunyai wakil pelbagai pihak termasuk pekerja dan majikan selain kerajaan dan lainnya serta tiada orang politik.

Menurut beliau lagi, Tabung Haji juga semestinya mewujudkan wakil-wakil sedemikian tanpa orang politik kepartian terlibat bagi menjamin kemaslahatan dan tiada pertembungan kepentingan dalam keputusan selain keputusan tidak direstui pendeposit atau wakil terus mereka. - HARAKAHDAILY 9/5/2015

Share on Myspace