Kepimpinan ulama tunjang kekuatan PAS - Dr Sanusi

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS yang mendasari perjuangan Islam masih memerlukan kepimpinan ulama sebagai tunjang kekuatan parti serta mengekalkan akhlak mulia Islam yang menjadi budaya tradisi gerak kerja parti.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok berkata, menolak kepimpinan ulama dalam PAS akan menjejaskan parti itu.

Ini kerana, katanya tradisi PAS sejak ditubuhkan dan sejarah perkembangan parti hingga sekarang di bawah kepimpinan ulama.

“Menolak kepimpinan ulama di dalam PAS ini akan menjejaskan PAS, sebab tradisi PAS sejak ditubuhkan dan sejarahnya sampai sekarang ini pimpinan ulama.

“Akhlak mulia Islam yang menjadi budaya tradisi gerak kerja PAS ini mestilah dipertahankan termasuklah akhlak itu berwala’ kepada pimpinan, berwala’ kepada perjuangan parti.

“Marilah kita sama-sama berpegang kepada perjuangan Islam, dasar Islam, pimpinan kita ialah pimpinan ulama dan akhlak budaya tradisi kita ialah akhlak Islam. Jangan berubah dari tiga dasar kekuatan PAS ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hiwar Siyasi bertajuk PAS Selepas 60 Tahun anjuran Lajnah Dakwah, Kesenian dan Kebudayaan PAS Negeri Terengganu di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, dekat sini petang semalam.

Beliau yang juga mantan Naib Presiden PAS menegaskan bahawa dasar PAS sejak ditubuhkan adalah Islam yang mesti dipertahankan.

Katanya, pendekatan dan strategi parti boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian serta kondisi semasa.

“Pendekatan dan strategi itu boleh kita berubah sesuai dengan situasi dan kondisi semasa tetapi dasar kita dan budaya kita jangan diubah sama sekali, lebih-lebih lagi jika perubahan itu yang kita ingini hanya untuk kepentingan duniawi, untuk ke Putrajaya dengan meninggalkan Islam,” tegasnya.

Beliau turut membawa contoh beberapa parti dan gerakan Islam dunia yang mengambil pendekatan lunak mengubah dasar Islam.

“Berapa banyak parti-parti Islam dan gerakan Islam lain yang merubah pendekatannya dan secara drastik merubah dasar-dasarnya, akhirnya menjadi parti lain dan bukan memperjuangkan Islam lagi,” jelasnya di hadapan 400 hadirin.

Justeru, tegas beliau PAS memerlukan kepimpinan ulama dan orang yang mahu memperjuangkan Islam menyertai PAS. - HARAKAHDAILY 9/5/2015

Share on Myspace