Selesai segera isu 1MDB, jangan jadi barah negara

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Majlis Perundingan Petubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendirian syarikat kerajaan 1MDB yang kini dipersoalkan menjadi barah negara yang tidak boleh dibiar berlarutan. Dengan bebanan hutang yang sedemikian besar berjumlah RM42 bilion, negara sedang menanggung bebanan kewangan yang parah bagaikan barah yang akan melumpuhkan kewangan negara jika ia tidak segera diatasi.

Walaupun Perdana Menteri sudah mengarahkan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiapkan laporan, namun keresahan rakyat terhadap soal pokok iaitu ke mana hilang wang yang dipinjam oleh 1MDB itu masih tidak terjawab.

Kini sebagai akibat dari ketidakjelasan yang berlanjutan, rakyat sudah luntur kepercayaan kepada kerajaan.

Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan sepenuhnya, kerajaan mempunya kuasa untuk membuat keputusan yang muktamad untuk menamatkan kepincangan dalam operasi syarikat tersebut.

Pada awal lagi ketika 1MDB diwujudkan, sepatutnya PM sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB itu memastikan tidak berlaku uruskelola yang salah dan menentukan  tahap daya maju syarikat tersebut serta uruskelola korporat yang baik (good corporat governance) yang mesti diamalkan.

Aliran kewangan yang tidak mengikut peraturan standard sebuah badan korporat di bawah PM sekaligus memegang jawatan Menteri Kewangan tidak sepatutnya berlaku.

Akibat tidak terdapat penjelasan yang memuaskan, kini keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan integriti kerajaan  semakin luntur.

Ternyata dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab mengenai 1MDB sehingga sekarang, ia kini menjadi barah yang semakin kronik dan kerajaan berhadapan dengan krisis keyakinan rakyat.

Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap krisis yang berlaku dan rakyat tidak boleh dibiar terus tertanya-tanya mengenai isu ini.

Jika aset yang dimiliki oleh 1MDB terpaksa dijual untuk melunaskan hutang, wang dari agensi awam tidak sepatutnya diguna untuk tujuan menyelamatkan syarikat tersebut.

Kami sangat kecewa kenapa pihak kerajaan tidak mengambil langkah segera merungkaikan kekusutan uruskelola korporat yang salah itu.

Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji kini mencetuskan satu lagi kontroversi. Harga tanah yang dibeli oleh 1MDB dan dicatat di bawah harga pasaran dan kemudian dijual kepada Tabung Haji dengan harga yang sangat tinggi, sudah semestinya berhak dipersoalkan oleh warga penyimpan dan pencarum Tabung Haji. Sekarang konflik kepentingan antara Ahli Lembaga TH dan Ahli Lembaga 1MDB pula terdedah.

Pengurusan Lembaga Tabung Haji mungkin berhak membuat keputusan dalam urusniaga pelaburannya. Akan tetapi jika anggota Lembaga TH yang sama berada dalam 1MDB dan keputusan dibuat untuk TH membeli tanah 1MDB untuk menyelamatkan syarikat 1MDB yang bermasalah itu, maka kesangsian warga penyimpan Tabung Haji terhadap keputusan pembelian tanah itu, bukan suatu yang pelik.

Kerajaan tidak boleh membiarkan kepincangan pengurusan 1MDB terus membebankan kewangan negara dan menjadi barah yang membawa maut.

Jamaah Menteri Kabinet mesti mengadakan mesyuarat khas untuk membuat keputusan yang muktamad  mengenai isu 1MDB. Melengah-lengahkan tindakan dan membiarkan aset negara disalah urus akan membawa petaka besar kepada seluruh rakyat.

Penulis ialah Presiden Mapim.

HARAKAHDAILY 9/5/2015

Share on Myspace