Penjelasan Tabung Haji tambah luka rakyat

HARAKAHDAILY | .

Hari ini ramai rakyat Malaysia tertunggu-tunggu penjelasan Tabung Haji mengenai transaksinya dengan 1MDB.

Akhirnya, penjelasan yang dinantikan itu bertukar menjadi kekecewaan.

Ia tidak lain hanya kenyataan untuk mengesahkan Tabung Haji telah selesai melaksanakan ‘tugas sucinya’ membayar RM188.5 juta kepada 1MDB. Tidak ada pembatalan transaksi, tidak ada kekesalan dan permohonan maaf.

Bahkan tidak ada penjelasan kenapa bayaran penuh dilunaskan pada masa S n P dimetrai dan bayaran yang begitu tinggi diluluskan. Juga isu-isu lain yang terdapat dalam dokumen yang dibocorkan.

Tiga hari sebelumnya, orang yang sama menafikan Tabung Haji terlibat dengan sebarang transaksi bersama 1MDB. Hari ini, beliau pula mengesahkan.

Di mana kredibiliti beliau?

Kononnya bagi menghormati perasaan pencarum, tanah berkenaan akan dijual dalam satu dua minggu ini dengan keuntungan RM5 juta.

Katanya, atas nasihat Perdana Menteri yang diterimanya pada pagi ini. Pada masa yang sama, penjualan itu telah diluluskan oleh Lembaga Tabung Haji walaupun pada asalnya Lembaga Tabung Haji enggan menjual tanah berkenaan.

Terdapat pelbagai persoalan di sini.

Bilakah mesyuarat Lembaga yang telah meluluskan penjualan itu bersidang?

Jika sebelumnya ia enggan menjual tetapi selepas mendapat nasihat PM pada pagi ini, ia mengubah pendiriannya dengan bersetuju menjual.

Jika telah bersidang, adakah dalam tempoh sesingkat itu, satu kertas yang lengkap sebagai asas pertimbangan keputusan dibuat dapat disiapkan?

Adakah dengan ‘nasihat PM’ sebuah Lembaga boleh menukar keputusannya sebegitu mudah?

Jika itu kedudukan Lembaga TH, bagaimana kita boleh meyakini ia telah membuat keputusan pembelian itu sebelum ini tidak semata-mata hanya atas ‘nasihat PM’?

Untuk rekod, PM juga merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Penjelasan Pengerusi TH pagi ini hanya menambahkan luka dan mempermainkan rakyat Malaysia.

HUSAM MUSA
Naib Presiden PAS
9/5/2015

Share on Myspace