Himpunan bantah Tabung Haji 15 Mei

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS akan menganjurkan himpunan bantahan terhadap Tabung Haji di seluruh negara pada 15 Mei ini selepas solat Jumaat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahuz Omar ketika dihubungi berkata himpunan itu diadakan di negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat.

"Selepas solat Jumaat kita akan berhimpun di hadapan bangunan Tabung Haji di seluruh negara.

"Ini bagi negeri yang bekerja pada hari Jumaat dan bagi negeri-negeri yang cuti pada Jumaat mereka akan berhimpun pada hari Isnin," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, himpunan itu melibatkan mereka yang mendeposit wang di dalam Tabung Haji.

"Pendeposit akan berhimpun dan mereka boleh membuat pengeluaran wang yang disimpan, jika giliran untuk mengerjakan fardu haji masih lambat lagi.

"Tindakan ini adalah pengajaran kepada Tabung Haji yang menggunakan wang mereka untuk pembelian tanah yang tidak masuk akal itu," katanya yang juga Pengerusi Penganjur Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Tabung Haji.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas untuk menyiasat isu pembelian tanah di Tun Razak  Exchange (TRX) oleh Tabung Haji.

"Hal ini amat penting demi menyelamatkan Tabung Haji daripada terlibat dengan usaha bailout 1MDB yang sedang dilanda masalah kritikal dan hutang RM42 billion.

"Isu pembelian tanah yang bernilai RM188.5 Juta oleh Tabung Haji ini tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Apatah lagi wujudnya elemen 'conflict of interest' pihak yang membuat keputusan tersebut," tambah beliau.

Beliau juga menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tampil memberikan penjelasan kerana segala keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan pada akhirnya perlu mendapat kelulusan beliau.

Selain itu, beliau turut meminta individu yang terlibat dan ahli lembaga pengarah Tabung Haji digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Ini, katanya kerana mereka telah gagal melindungi kepentingan Tabung Haji dan para pendeposit yang menyimpan wang di Tabung Haji.

"Bagaimana mereka boleh meluluskan pembelian pada April lalu dalam keadaan umum mengetahui 1MDB sedang disiasat oleh pelbagai pihak termasuk Ketua Audit Negara?

"Mengapa mereka tetap mengambil risiko besar apabila melibatkan Tabung Haji dengan projek TRX yang bermasalah?

"Ini menunjukkan wujudnya unsur salah guna kuasa," ujarnya.

Mahfuz berharap agar ke semua perkara ini perlu diberikan penjelasan oleh pihak terbabit,  siasatan dan tindakan segera perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan Tabung Haji daripada menjadi Tabung Penyelamat Syarikat GLC Kerajaan Pusat. - HARAKAHDAILY 10/5/2015

Share on Myspace