1MDB: Nasib baik Mahathir belum mati

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mulanya Tun Mahathir dianggap sebagai jahat dan khianat dalam pendedahan ketempangan 1MDB tetapi apabila disertai oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri maka beliau tidak lagi keseorangan.

Demikian ulasan bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam blognya semalam bertajuk '1MDB: Nasib Baik Mahathir Belum Mati, Najib Batalkan Pembelian TH Dalam Keadaan Panik'

Menurutnya, kebangkitan rakyat telah menegakkan kebenaran Tun Mahathir yang menyebabkan ramai bertanya, bagaimanakah jika Mahathir telah mati lama dahulu.

"Siapakah yang akan mendedahkan pekong 1MDB? Siapakah yang akan berani menjuarai isu ini?

"Ramai yang menyatakan kepada saya, nasib baik Mahathir masih hidup," tulisnya sebagaimana di bawah.

Sesiapa juga yang tidak buta akal akan dapat membaca bahawa nasihat (arahan?) Perdana Menteri Datuk Seri Najib supaya Lembaga Tabung Haji (TH) menjual semula tanah  yang dibelinya dari 1MDB dengan harga RM188.5 juta telah dibuat dalam keadaan panik.

Suatu keputusan yang dibuat dengan gopah-gapah dan terburu-buru kerana panik  tidak mencerminkan kematangan pertimbangan dan menampakkan kelemahan pimpinan.

Datuk Seri Najib tentunya mengharapkan tindak balas positif dari rakyat atas keputusannya itu tetapi hakikat sebenarnya telah menghilangkan rasa hormat rakyat dan menjatuhkan maruah kerajaan.

Alasan diberikan oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez bahawa keputusan itu dibuat  kerana menghormati sensitiviti pendeposit. Ertinya Lembaga TH tidak senstif terhadap perasaan pendeposit sebelum pekara ini terdedah secara haram. Sensitif kerana telah terdedah dan bukan kerana penghayatan sebati terhadap amanah pencarum.

Penjualan kembali  dalam keadaan panik ini  jelas memperkuatkan  lagi  anggapan ramai selama ini tentang kepimpinan Datuk Seri Naib yang flip-flop dan kesilapan dalam  membuat beberapa keputusan penting mengenai rakyat  dan negara seperti penghapusan ISA dan pembatalan hasrat untuk hapuskan Akta Hasutan.

Dalam keadaan kes 1MDB masih dalam siasatan, pendedahan mengenai pembelian tanah 1MDB oleh TH menyebabkan rakyat melihat kebenaran dalam tindakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  mempersoalkan masalaah kecurangan dalam pengurusan kewangan  1MBD termasuk hutang berbilion yang tidak dapat dibayar walaupun mereka tidak faham.

Penafian bahawa pembelian tanah dari 1MDB itu bukan sebagai langkah penyelamatan (bailout) sukar untuk diterima oleh rakyat kerana rakyat  sekarang beranggapan bahawa pembelian itu cuba disembunyikan dari mereka.

Rakyat sekarang memperhitungkan pendedahan secara haram yang dilakukan oleh sebuah blog telah menyelamatkan wang simpanan mereka dalam Tabung Haji.

Ramai yang "termuntah" apabila  Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez mengatakan di TV3 malam ini bahawa penjualan semula  tanah yang dibeli dari 1MDB itu  adalah untuk menghentikan fitnah  dari terus berlaku. Apakah Tun Mahathir telah melakukan fitnah atau Tun Mahathir telah menjalankan perintah Allah untuk mengatakan sesuatu yang benar walaupun pahit?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib sedang menghadapi  tekanan dari rakyat  bawahan hingga ke istana, dari pemimpin pemimpin UMNO; Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, naib-naib presiden UMNO dan lain-lain lagi mengenai 1MDB yang Najib adalah penasihatnya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membantah GST dengan menyifatkan arahan pelaksanaan cukai itu terhadap kerajaan negeri dan kerajaan tempatan tidak masuk akal.

Mulanya Tun Mahathir dianggap sebagai jahat dan khianat dalam pendedahan ketempangan 1MDB tetapi bila disertai oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri maka beliau tidak lagi keseorangan. Kebangkitan rakyat telah menegakkan kebenaran Tun Mahathir yang menyebabkan ramai bertanya: Bagaimanakah jika Mahathir telah mati lama dahulu? Siapakah yang akan mendedahkan pekong 1MDB? Siapakah yang akan berani menjuarai isu ini?

Ramai yang menyatakan kepada saya, nasib baik Mahathir masih hidup.

Marilah kita berdoa agar Allah terus memberikan kesihatan kepadanya dan memanjangkan  usianya, tidak sahaja untuk melihat Najib dalam keadaan panik tetapi sehingga dapat melihat negara ini berada di bawah pimpinan yang dapat memulihkan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu dan Islam.

Rakyat sedang menungu suatu ucapan penting Presiden UMNO Datuk Seri Najib sempena ulangtahun UMNO ke-69 Isnin ini tetapi pastinya bukan mengenai peletakan jawatan sebaliknya seruan kepada seluruh  pemimpin UMNO supaya mengekalkan perpaduan  untuk membantu  beliau menghadapi cabaran yang lebih besar.

Share on Myspace