Isu utama tindakan politik Tabung Haji ‘bela’ 1MDB

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mahu syarikat 1MDB menyelesaikan liabiliti kewangan dan hakisan integriti yang dihadapinya terlebih dahulu.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Khairil Nizam Khirudin tidak bersetuju Lembaga Tabung Haji (LTH) menggunakan peluang dengan dana peruntukan pelaburan hartanah untuk membeli pada kadar dengan proses yang meragukan.

"Apatah lagi, jumlah RM188.5 juta tersebut lebih kurang sama seperti nilai pembayaran faedah pinjaman yang perlu dijelaskan oleh 1MDB.

"Adakah ia mengulangi tindakan kerajaan yang telah menyuntik duit rakyat sebanyak RM950 juta kepada 1MDB sebagai ‘credit standby’ sebelum ini?" soalnya.

Ekoran daripada sidang media khas Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah LTH semalam,  Pemuda PAS ingin menegaskan bahawa isu utama yang dibangkitkan bukan mengenai pembelian plot tanah berkenaan, sebaliknya tindakan politik yang diambil oleh Lembaga Tabung Haji untuk ‘membela’ 1MDB.

Jelas Khairil yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, subsidiari LTH, TH Properties Sdn Bhd telah lama diwujudkan dan mempunyai track record yang agak baik dalam projek-projek pembangunan dan pelaburan hartanah sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Walaupun begitu, katanya ia juga pernah terpalit dengan kontroversi pembelian dua bangunan (TH Selborn dan TH Perdana) sepertimana yang pernah didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk Badan Berkanun Persekutuan 2003.

Sejak pelancaran rasmi Tun Razak Exchange pada 30 Julai 2012, katanya, tidak banyak perkembangan terkini yang dilaporkan untuk membangunkan hab Kuala Lumpur International Financial District tersebut.

Menurutnya, melainkan yang terbaru dilaporkan pada tahun ini adalah satu kerjasama yang telah dimeterai antara 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan Lend Lease untuk membangunkan TRX Lifestyle Quarter pada 19 Mac 2015 yang lalu.

Tambahnya, para pelabur antarabangsa seperti Abu Dhabi dan Qatar turut dikatakan telah mempertimbangkan semula pelaburan mereka.

"Ini yang dibimbangkan. Malah, ia telah dinyatakan juga secara jelas dalam laporan penilaian risiko pelaburan tersebut.

"LTH telah dikehendaki untuk mendapatkan jaminan perlindungan kepentingan bagi projek ini.

"Persoalannya, mengapa pembelian plot tanah tersebut tetap diteruskan walaupun 1MDB masih dibelenggu dengan skandal kewangan yang teruk," ujarnya.

Justeru, Pemuda PAS menegaskan bahawa dana awam ini tidak boleh dilaburkan dalam projek yang sangat berisiko kerana dibimbangi akan terlibat dengan konflik politik sekarang. - HARAKAHDAILY 10/5/2015

Share on Myspace