Tabung Haji: Jangan ulangi pegawai kena, 'jerung' lepas

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Krisis yang berlaku terhadap Tabung Haji (TH) tidak boleh dituding jari kepada individu-individu tertentu sahaja tetapi ia adalah kesilapan kerajaan Umno dan BN yang memerintah.

Justeru, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bersimpati dengan musibah yang menimpa terhadap TH khususnya kepada para kakitangannya yang bertungkus lumus untuk menjaga amanah itu.

Bagaimanapun, kata beliau malangnya ia diburukkan oleh tangan-tangan kotor pemimpin politik yang tamak haloba.

"Kita sangat bimbang sejarah akan berulang apabila berlakunya krisis-krisis dalam negara yang dipersalahkan ialah kakitangan atau pegawai kerajaan adapun 'jerung-jerung' besar terselamat," tulis beliau menerusi facebook.

Beliau masih ingat cerita orang-orang dahulu yang nak pergi ke Mekah menunaikan ibadah haji sampai kumpul duit syiling dalam tempayan di bawah rumah semata-mata untuk merealisasikan rukun Islam yang kelima itu.

"Besarnya kesungguhan mereka. Alhamdulillah negara kita mempunyai Tabung Haji yang memainkan peranan di atas," katanya.

Baginya, besar jasa mereka yang memberikan idea sehingga ia menjadi realiti. - HARAKAHDAILY 11/5/2015

Share on Myspace