Tabung Haji: R serah memorandum kepada SPRM

| .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Royalti (R) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu pembelian tanah oleh Tabung Haji (TH) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden R, Nazri Deraman berkata, hasil siasatan juga haruslah dibentangkan kepada awam kerana isu ini melibatkan hak awam iaitu pendeposit TH.

"Jika SPRM proaktif menyiasat kebimbangan orang ramai dan media meneruskan membantu secara hebahan, kemudian membentangkan hasil siasatannya secara terbuka, berani dan telus, para pemegang amanah tiadak akan berani bertindak sesuatu yang meragukan secara besar-besaran dan terang-terangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepdaa Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali di pejabat SPRM, Kota Bharu semalam.

Nazri berkata, R turut menyokong kempen keluarkan wang simpanan dalam TH secara beramai-ramai sebagai tekanan kepada TH agar menjaga amanah dan lebih beretika supaya kepercayaan yang tinggi terhadap TH sebelum ini tidak tercalar dengan campur tangan pihak-pihak yang berkepentingan.

"Cadangan kami, sekiranya anda bercadang untuk menunaikan haji, tinggalkan RM1,300 sahaja bagi tujuan pendaftaran haji dan selebihnya perlu dikeluarkan.

"Kita hanya akan menyimpan semula di TH selepas TH bebas daripada perkara-perkara seperti ini, pihak terlibat diambil tindakan sewajarnya serta TH bebas daripada campur tangan politik," tegasnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Mustafar berjanji akan menyampaikan memorandum dari R yang mewakili pendeposit TH kepada pihak SPRM pusat dnegan segera. - HARAKAHDAILY 11/5/2015

Share on Myspace