Matlamat ke Putrajaya tak gadai dasar PAS

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS tidak akan menggadai dasar perjuangannya biarpun dalam masa yang sama berganding dengan Pakatan Rakyat bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata PAS sentiasa menghormati rakan-rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat.

“DAP pun tahu dasar PAS sejak awal penubuhan ialah memperjuangkan penubuhan negara Islam. Sebab itulah PAS tidak berkompromi dengan dasarnya biarpun berusaha melangkah ke Putrajaya.

“PAS menghormati DAP dan PKR, begitu juga sebaliknya mereka menghormati PAS,” katanya pada ceramah perdana bertema ‘Kukuh Pakatan Rakyat Hancurkan BN’ di Padang Perdana di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Whip Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof dan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Mohamad juga berkata kejayaan PAS dalam sejarah pilihan raya kerana ada gandingan dengan rakan-rakan daripada parti lain.

Katanya, PAS bertahaluf siyasi dengan Parti Negara diketuai Datuk Onn Jaffar pada pilihan raya umum 1959 sehingga berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu.

“Begitu juga PRU 1990 PAS berganding bahu dengan Semangat 46, Hamim dan Berjasa bagi menumbangkan Umno di Kelantan,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap ketika Umno di bawah Datuk Seri Najib Razak hendak patah sayap sekarang, jangan pula ada pihak yang memberi tongkat sehingga parti itu dapat tegak semula.   

Sempena program Mohamad menyerahkan replika kunci pacuan empat roda kepada Unit Amal Kota Bharu bagi kegunaan misi bantuan kemanusiaan.

Hilux berharga RM97,000 tersebut disumbang PAS Kota Bharu. - HARAKAHDAILY 11/5/2015

Share on Myspace