Siapa pengaruhi keputusan transaksi 1MDB-TH?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Gerakan Selamatkan Tabung Haji mendesak satu rombakan dan penyusunan semula pengerusi, lembaga pengarah Tabung Haji serta pengarah urusan dan timbalan pengarah urusan dilakukan dengan segera.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Tabung Haji hendaklah dibebaskan daripada menjadi mangsa kepada gejala pertembungan kepentingan.

"Kita tidak boleh membiarkan elemen seperti ini mengkompromi keutuhan sebuah institusi kewangan Islam yang  amat besar maknanya kepada kepentingan ekonomi umat Islam ini," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat turut mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri kononya pembelian hartanah oleh Tabung Haji dari 1MDB ini bakal menjana keuntungan lumayan kepada Tabung Haji sehingga ratusan juta.

Soal Mahfuz, mengapa Perdana Menteri tidak menjual tanah TRX  kepada Tabung Haji pada harga "tanah kerajaan" seperti dibayar oleh 1MDB ketika membeli tanah tersebut?

"Kalau sesungguhnya Perdana Menteri Berjiwa Islam dan Melayu, itulah yang sepatutnya dilakukan kerana penabung-penabung di Tabung Haji 100% orang Islam dan Melayu.

"Kedua,  sekiranya niat Perdana Menteri ialah untuk memberi keuntungan lumayan kepada Tabung Haji, kenapakah hartanah berkenaan dijual kepada Tabung Haji pada harga yang luar biasa mahalnya, lebih mahal dari hartanah di Bukit Bintang dan kita difahamkan bahawa hartanah yang bernama TRX itu seolah-olahnya adalah sekeping hartanah di Kota London dan New York," tambah Mahfuz.

Malah katanya, ada pihak yang mendakwa hartanah yang dibeli oleh Tabung Haji itu adalah sekeping hartanah yang harganya paling mahal di dunia.  

Oleh hal yang demikian, tegas Mahfuz, tidakan menjual satu setengah ekar tanah di TRX oleh 1MDB kepada Tabung Haji dengan harga tunai dibayar segera dan sepenuhnya tidak lain melainkan adalah satu tindakan untuk menyelamatkan 1MDB.

"1MDB  diselubungi pelbagai skandal dan yang sedang menghadapi kesempitan mudah tunai seperti yang dilaporkan pelbagai pihak, dalam pelbagai transaksi kewangan yang meragukan menyebabkan sebahagian dana tunainya “lesap tidak dapat dikesan," tegas beliau.

Katanya, tindakan menjual di TRX kepada Tabung Haji pada “harga yang luarbiasa tingginya” adalah satu tindakan terdesak untuk menjana tunai dengan secepat mungkin bagi menyelamatkan syarikat 1MDB dari dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank.

"Untuk tanah seluas satu setengah ekar, Tabung Haji membayar RM188.5 juta tunai, tidak seperti amalan biasa di mana pembeli biasanya membayar 10-20% wang pendahuluan dan selebihnya setelah segala urusan perundangan dan lain-lain urusan berkaitan dengan transaksi berkenaan dimuktamadkan," ujarnya.

Amatlah menghairan, proses yang lazimnya memakan masa agak panjang dapat diselesaikan dalam masa yang agak pendek.

"Kelajuan yang luar biasa di dalam memuktamadkan transaksi ini dan pembayaran tunai penuh segera kepada penjual mengundang persepsi bahawa urus niaga hartanah di antara 1MDB dan Tabung Haji ini tidak lain adalah helah dan muslihat untuk menggunakan dana Tabung Haji untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang diselubungi pelbagai skandal, 1MDB.

Katanya, transaksi hartanah 1MDB-Tabung Haji ini dengan jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri Malaysia boleh, pada bila-bila masa, mempengaruhi proses pembuatan keputusan di Tabung Haji. – HARAKAHDAILY 11/5/2015

Share on Myspace