Tabung Haji beli tanah TRX, isunya adalah 1MDB

NASRUDIN HASSAN | .

Saya bimbang kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Haji semalam akan mengaburi masalah sebenar yang berlaku iaitu skandal kewangan 1MDB. Portfolio pelaburan hartanah LTH adalah pilihan. Namun, adakah pilihan tersebut wajar?

Ia tidak menjadi isu kritikal sekiranya LTH membeli dan melabur sebidang tanah di lot komersial Kuala Lumpur pada harga di bawah nilai semasa dengan pihak lain, tetapi ia berkontroversi disebabkan pembelian tersebut daripada 1MDB.

1MDB adalah sebuah dana kekayaan negara yang dilaburkan bagi mendapat pulangan keuntungan yang besar demi kepentingan negara dan rakyat. Sepertimana yang dilaporkan dalam The Edge, 1MDB mempunyai jumlah hutang yang tinggi, dijamin oleh kerajaan dan terpaksa membayar kos pinjaman juga tinggi. Hutang 1MDB telah mencecah RM42 bilion pada 31 Mac 2014.

Pembelian aset-aset pada paras harga yang tinggi telah menyukarkan aliran tunai 1MDB. Dikatakan nilai aset-aset tersebut mencecah RM 40 bilion. Namun, ia gagal menjana pendapatan dan menyumbang kestabilan aliran tunai 1MDB.

Rakyat juga tidak mengetahui dengan jelas apakah aset-aset tersebut selain pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP). Wang pelaburan di Cayman Island juga tiada kepastian.

Maka, ini bukan masalah sebuah syarikat 1MDB tetapi ini adalah beban negara dan masalah yang terpaksa dipikul oleh pembayar cukai. Terutama dalam keadaan penyusutan pendapatan negara disebabkan oleh penurunan mendadak harga minyak dunia dan penyusutan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat.  

Disebabkan wujud keraguan yang tinggi terhadap pelbagai transaksi kewangan, maka saya turut menyokong bahawa 1MDB wajar menjalani audit forensik oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara supaya semua dakwaan tersebut dapat dijawab secara telus.

Saya turut mengulangi cadangan bahawa satu keperluan terhadap Perdana Menteri untuk menasihati Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memanggil sidang khas mesyuarat Dewan Rakyat bagi menjawab segala tanda tanya yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak.

Oleh yang demikian, akhirnya kegagalan kewangan 1MDB diselesaikan dengan menggunakan dana awam untuk membeli hartanah kontroversi 1MDB di TRX pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga belian asal. Adakah tawaran awam permulaan (IPO) syarikat subsidiari 1MDB yang dijadual akan disenaraikan pada bulan September juga akan melibatkan dana awam?  

Akhirnya kita akan menyaksikan projek YAB Perdana Menteri 1MDB ini akan berakhir dengan usaha pembayaran hutang tanpa sebarang keuntungan buat rakyat.

Jika hutang tersebut dalam kaedah konvensional berasaskan riba’, maka inilah penangan dibelenggu dengan perangkap riba’ yang nyata diperangi dalam Islam itu sendiri. - HARAKAHDAILY 11/5/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Temerloh yang juga AJK PAS Pusat.

Share on Myspace