Abim serah memo gesa Azeez letak jawatan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyerahkan memorandum bagi menggesa Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji (TH) begitu juga pihak-pihak yang terlibat dengan 1MDB.

Abim yang diwakili Presidennya Amidi Abdul Manan berkata gesaan ini adalalah untuk mengelakkan insiden seperti konflik kepentingan berulang kembali dalam transaksi TH di masa-masa mendatang.

"Kerana kesilapan yang dibuat oleh pengerusi Tabung Haji akhirnya mengundang persepsi tidak benar tentang Tabung Haji,"katanya kepada pemberita di Bangunan Tabung Haji Jalan Tun Razak.

Katanya, pihaknya akan turut menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir selaku menteri yang menyelia agensi itu.

"Sebagai menteri, Jamil Khir perlu memberi penjelasan berhubung kontroversi pembeliaan tanah 1MDB oleh Tabung Haji. Beliau perlu bersuara kerana mempunyai kuasa terhadap lantikan serta memecat pengerusi," katanya.

Memorandum tiga muka surat itu diserahkan kepada Pemangku Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji Adi Azuan Abd Ghani.

Abim juga mengutarakan beberapa gesaan antaranya, mengembalikan TH kepada matlamat asal penubuhannya iaitu menguruskan amanah berdasarkan kepada objektif utama penubuhan TH demi untuk meringankan bebanan umat Islam untuk mengerjakan ibadat fardhu Haji.

Abim juga meminta TH meningkatkan kecekapan urustadbirnya bagi mengembalikan keyakinan pendeposit.

"Oleh itu, Pengerusi Tabung Haji perlu untuk memikul seluruh tanggungjawab bagi memberikan gambaran yang tepat tentang kedudukan sebenar TH dalam isu ini.

"Pengerusi TH juga telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengelirukan apabila menyatakan penjualan semula Lot Tanah TRX dengan keuntungan RM5 juta. Sedangkan mengikut laporan mstaronline, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) membeli tanah tersebut dengan harga kira-kira RM 160 juta, 15% lebih murah," katanya.

Tambahnya, keadaan ini diburukkan lagi apabila KWAP hanya diminta menjelaskan sebanyak 10% dari harga pembelian dan secara langsung memberikan kesan terhadap jumlah aliran tunai TH yang mana TH telah menjelaskan kepada 1MDB kesemua bayaran iaitu RM188.5 juta dalam masa singkat.

Lembaga Tabung Haji (TH) telah ditubuhkan pada tahun 1969 atas kesedaran dan keinsafan akan kesukaran orang Melayu khususnya di luar bandar untuk mendapatkan sejumlah wang yang besar bagi tujuan mencapai hajat mulia untuk menunaikan rukun Islam ke lima.

TH telah ditubuhkan atas aspirasi Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz menerusi kertas kerja beliau bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji" pada tahun 1959. – HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace