MH179: Akibat arak nyawa penumpang jadi taruhan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan nampaknya masih belum mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku terhadap Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) membabitkan MH370 dan MH17.

Terkini pula MH179 apabila terpaksa berpatah balik ekoran seorang penumpang mabuk sehingga mengganggu penerbangan pesawat tersebut.

Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary melahirkan rasa kecewa apabila Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berulang kali mendesak kerajaan agar tidak menghidangan minuman arak di dalam pesawat MAS.

Merujuk kepada kejadian terbaru itu, bagi Marzuk ia sekali gus memburukkan nama Malaysia sebagai sebuah negara Islam, selain mengundang bahaya kepada peminum dan para penumpang lain.

"Tragedi yang menimpa pesawat MAS sebelum ini sepatutnya menginsafkan kita semua agar lebih berhati-hati. Namun nampaknya pihak MAS dan kerajaan masih belum dapat mengambil iktibar apa yang telah berlaku.
 
"Rakyat Malaysia masih kuat trauma kejadian MH370 dan MH17. Insiden MH179 ini pula menambah lagi trauma sedia ada," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru katanya, pihak kerajaan sudah begitu lama berjanji untuk membincangkan perkara ini apabila perkara ini dibangkitkan di dalam sidang parlimen.

Namun katanya,  janji yang diberi sudah sampai ke tahap berlaku pula insiden mabuk di dalam pesawat yang boleh membahayakan nyawa para penumpang apatah lagi meruntuhkan reputasi MAS yang sudah sekian merosot.

"Saya tertanya-tanya manakah yang lebih bahaya, penumpang mabuk dalam pesawat MH179, atau bahaya sebuah kerajaan yang membiarkan jutaan botol arak memabukkan dalam pesawat MAS?" soalnya.

Justeru, tegasnya, sudah sampai masanya kerajaan mengharamkan terus penyediaan arak di dalam pesawat MAS demi menjaga imej dan keselamatan penumpang.

Pada 10 Mei baru-baru ini, penerbangan MH179 dalam perjalanan ke Colombo, Sri Lanka terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berikutan gangguan yang ditimbulkan seorang penumpang yang mabuk.

MAS dalam kenyataanya mengesahkan, komander penerbangan membuat keputusan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang lain dalam pesawat berkenaan selepas penumpang yang mabuk itu mula menganggu kru penerbangan, sebaik sahaja pesawat berada di udara.

Oleh sebab saiz badan (penumpang berkenaan) yang besar, penumpang-penumpang lain terpaksa membantu anak-anak kapal daripada gangguan penumpang terbabit," menurut kenyataan MAS itu. – HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace