Gempa bumi menggoncang keyakinan rakyat Nepal

YUBA NATH LAMSAL | .

KATHMANDU: Gempa bumi dahsyat yang melanda Nepal pada 25 April lalu turut menggoncang keyakinan rakyat Nepal lebih daripada kemusnahan fizikal yang berlaku.

Gempa berukuran 7.9 pada skala Richter itu membunuh lebih 8,050 nyawa dan mencederakan 17,000 yang lain di samping memusnahkan banyak harta benda.

Keyakinan rakyat turut digugat dengan susulan gempa yang terus berlaku di sekitar Kathmandu dan kawasan sekitarnya selepas dua minggu gempa pertama berlaku.

Nepal kini masih berkabung walaupun kerajaan hanya mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Kemusnahan lebih banyak berlaku di kawasan perkampungan. Misalnya perkampungan masyarakat Gorkha (Gurkha) kira-kira 250 kilometer di barat Kathmandu ranap sama sekali dengan 95 peratus rumah di perkampungan Gurungs rosak teruk sementara selebihnya tidak boleh didiami lagi.

Beberapa buah kampung di Sindhupalchock menerima nasib yang sama.

Banyak rumah turut musnah di Kathmandu. Yang kehilangan rumah tangga tinggal di khemah-khemah sementara penduduk yang rumah mereka separuh musnah bimbang untuk kembali khuatir gempa besar berlaku sekali lagi ekoran gegaran kecil berlaku setiap hari.

Lebih 650 gempa susulan dicatat sejak gempa besar tercetus.

Kehidupan rakyat belum kembali pulih. Persekolahan masih ditutup berikutan lebih 5,000 buah sekolah turut musnah.

Walaupun kedai-kedai kecil telah dibuka, namun kedai besar dan pasar raya masih ditutup yang kebanyakannya turut musnah.

Gempa turut memusnahkan warisan kebudayaan seperti menara Dharahara setinggi 61.88 meter yang dibina pada tahun 1832, dataran Basantapur Durbar dan kuil di Kathmandu.

Saya sedih kerana kedua-dua rumah saya (sebuah di kampung halaman saya dan sebuah lagi di Kathmandu) rosak. Tetapi saya lebih sedih apabila mendengar Dharahara runtuh.

Saya melihat Dharahara sepanjang hidup saya. Sekarang saya tidak akan melihatnya lagi dan mungkin cucu-cucu saya tidak akan tahu pun Dharahara pernah wujud di Kathmandu.

Kerajaan Nepal berjanji untuk membangunkan semula bangunan dan infrastruktur yang musnah dalam tempoh dua tahun.

Rakyat akan melihat sama ada janji itu akan dipenuhi bagi mengubat kembali keyakinan dan harapan mereka yang musnah. - Bernama

Share on Myspace