'Inilah cerita sebenar, bukan Kak Lah saja-saja naik pentas'

| .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusoff kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang menuduhnya menentang hudud tanpa mendapatkan penjelasan beliau.

Beliau dituduh menolak hudud apabila gambarnya di ceramah yang dihadiri  penasihat DAP, Lim Kit Siang disebarkan di media sosial.

"Saya sedih kehadiran saya di ceramah di Kota Bharu telah diviralkan. Merata-rata pihak tertentu menyebarkan gambar kehadiran saya yang didakwa menentang hudud," katanya.

Beliau sedih kerana tuduhan yang tidak benar itu telah dilakukan oleh orang yang mempunyai pegangan agama yang kuat tapi sanggup menyebarkan fitnah begitu.

Malang sekali tambah beliau, tidak ada seorang pun yang menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan sebenar tentang apa yang berlaku dalam ceramah tersebut.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, beliau hadir ke ceramah tersebut kerana menemani suaminya yang mahu mendengar ceramah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

"Kebetulan, Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Hasimah Abd Rahman melihat saya di padang dan menjemput saya naik ke pentas. Saya menolak jemputan itu kerana saya hendak bertemu rakyat dan menemankan suami yang hendak dengar ceramah Rafizi.

"Pengerusi majlis ketika itu berulang kali memanggil saya naik ke pentas. Hadirin yang saya temui juga berulang kali meminta saya naik ke pentas," katanya.

"Kebetulan pula, ada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, jadi saya rasa tidak elok jika saya menolak permintaan penganjur. Inilah cerita sebenar, bukan Kak Lah saja-saja datang untuk naik ke pentas," jelasnya.

Beliau menegaskan, sebagai anak jati Kelantan yang sudah lebih 30 tahun bersama PAS, beliau memang sudah serasi dengan kepimpinan ulama.

"Jadi kenapa fitnah saya dan DMPP menentang kepimpinan ulama dan menentang hudud?" soalnya. - HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace