Peneroka dapat geran selepas 30 tahun menunggu

MOHD NOR YAHYA | .

GUA MUSANG: Penantian lebih 30 tahun peneroka di Felda Chiku 1 dan 2 untuk memiliki geran tanah berakhir apabila mereka menerima surat hak milik semalam.

Seramai 107 peneroka dari kedua-dua kawasan Felda tersebut menerima geran tanah daripada Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah.

Setiap mereka menerima geran tanah ladang seluas 10 ekar termasuk suku ekar tapak rumah.

Seorang peneroka, Mustapa Salleh berkata, kerajaan negeri menunaikan janji memberi geran tanah kepada peneroka selepas berusaha payah sejak 30 tahun lepas.  

“Ini membuktikan kerajaan di bawah dasar Membangun Bersama Islam benar-benar mementingkan kebajikan rakyat.

“Kami melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menamatkan penantian untuk memiliki sendiri geran tanah selepas lama menunggu,” katanya di majlis itu.

Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian Kelantan Datuk Nazran Muhammad, Ketua Jajahan Gua Musang Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof, Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad.

Selain itu Penyelia Dun Galas, Abdullah Hussin, Penyelia Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi dan Penyelia Dun Paloh, Noraini Hussin.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri menunaikan tanggungjawab menyerah geran kepada peneroka dan berharap mereka membayar hasil tahunan di Pejabat Tanah dan Jajahan. - HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace