80% pekerja asing dalam industri minyak di Kertih

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu terkilan dengan isu ‘kebanjiran’ pekerja asing di negeri ini hingga mencecah 80 peratus dalam industri minyak dan gas di Paka dan Kertih.

“Begitu juga dengan peluang pekerjaan. Saya cukup terkilanlah sebab saya duduk di kawasan ‘oil and gas’ tetapi masih ada lagi isu pengambilan pekerja asing yang ramai," ujar Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat.

Beliau mendapat maklumat, kira-kira 80 peratus pekerja di kawasan itu terdiri daripada warga asing.

"Apabila kita bising barulah nak ada tindakan. Sepatutnya, kerajaan lebih pekalah dengan penggunaan tenaga pekerja orang tempatan," ujarnya yang juga Adun Paka ketika ditemui di lobi U2, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Wisma Darul Iman selepas majlis perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Sidang Dun Terengganu Ke-13, di sini, semalam.

Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah merasmikan istiadat pembukaan sidang Dun tersebut. Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat.

Satiful juga menyifatkan keseimbangan pembangunan di negeri ini tidak selancar negeri lain.

Ini katanya, berbanding dengan negeri Melaka yang kecil tanpa sumber asli yang banyak tetapi dari segi infrastrukturnya lebih baik daripada Terengganu.

“Terengganu pada peringkat awal negeri miskin setelah mendapat hasil royalti (minyak) Terengganu mendapat sumber pendapatan secara drastik.

“Keseimbangan pembangunan di negeri ini tidak selancar pembangunan di negeri-negeri lain. Kita bandingkan dengan negeri Melaka umpamanya, walau pun dia (Melaka) tidak ada sumber kewangan tetapi kita nampak dari segi infrastrukturnya baik, begitu juga dengan negeri Kelantan,” ujarnya.

Persidangan Dun Terengganu kali ini berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga 14 Mei. - HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace