Beri peluang Najib sehingga habis tempoh - Presiden PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS menyerahkan kepada rakyat bagi ‘menghukum’ parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang dibebani dengan masalah skandal 1MDB dan Tabung Haji.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata negara ini mengamalkan pemerintahan secara demokrasi dan bukan dengan ‘diktator’.

Justeru, katanya segala permasalahan yang berlaku dalam pemerintahan negara menjadi tanggungjawab parti dan bukan semata-mata individu tertentu.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu diberi tempoh hingga habis penggal bagi menyelesaikan segala masalah tersebut.

“Ya, saya suka (Najib) diberi peluang biar habis tempoh penggalnya. Biar rakyat 'hukum' dia. Itu pandangan sayalah, biar rakyat menghukum dia.

“Kita jika ada kelemahan, kita kena sebut. Kita lebih berbentuk menasihati untuk mengislah dan menyelesaikan masalah,” ujarnya yang juga Adun Rhu Rendang kepada media ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-13 berhenti rehat, hari ini.

Ustaz Abdul Hadi menyifatkan setiap Perdana Menteri yang silih berganti sejak Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib mempunyai masalah masing-masing.

“Saya tidak mahu menunding jari kepada sesiapa. Pada saya, supaya kita mengamalkan demokrasi ‘pulang’ kepada rakyat. Rakyat untuk menghukum parti dan bukan menghukum orang.   

“Jika kita kata Perdana Menteri sekarang dia punya masalah, yang dahulu juga ada masalah juga, jadi seolah-olah kita hendak jadikan Melayu mudah lupa. Bukan Melayu sahaja yang mudah lupa tetapi MIC ada Maika Holding, MCA ada masalah skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dan sebagainya. - HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace