Sah atau ‘wayang’ jana dana bantu 1MDB langsai hutang

HARAKAHDAILY | .

Penjualan tanah 1MDB seluas 1.56 ekar kepada Lembaga Tabung Haji (LTH) yang bernilai RM188.5 juta pada kadar RM2,774 sekaki persegi perlu dipersoalkan walaupun dikatakan telah memberikan LTH keuntungan sebanyak RM5 juta.

Ini adalah kerana dana yang digunakan LTH adalah dana rakyat yang menabung untuk membiayai urusan fardhu haji terutama sekali bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Penjualan pada kadar yang tinggi ini perlu dipersoalkan sama ada ianya benar-benar satu transaksi pasaran yang sah ataupun hanyalah satu ‘wayang’ untuk menjana dana bagi membantu 1MDB melangsaikan hutang-hutangnya.

Kelmarin kita dikejutkan pula dengan pembelian tanah 1MDB di kawasan yang sama oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) pada kadar 15% lebih rendah daripada tanah yang dibeli oleh LTH bernilai hampir RM2,300 sekaki persegi. Tanah dan bangunan yang bakal dibeli oleh KWAP dinilaikan di antara RM1 billion dan RM2 billion.

Saya kesal dengan sikap pihak kerajaan yang sanggup menggunakan dana rakyat untuk menyelamatkan projek gagal Perdana Menteri iaitu 1MDB.

Sudahlah pendapatan rakyat yang tidak meningkat itu dirompak oleh kerajaan menerusi beban GST, kini, duit simpanan untuk masa depan rakyat (LTH, KWAP) pula digunakan sewenang-wenangnya untuk menyelamatkan 1MDB yang hanya menguntungkan beberapa kroni tertentu sahaja.

Keghairahan pentadbiran Perdana Menteri untuk menyelamatkan 1MDB tanpa mempedulikan senstiviti rakyat amat membimbangkan. Tidak mustahil mereka juga akan sanggup mencetak lebih banyak wang ringgit untuk membiayai hutang 1MDB setelah segala dana rakyat habis digunakan nanti.

Sekiranya ini dilakukan maka nilai ringgit Malaysia akan susut ke tahap yang lebih rendah dan rakyat pula akan lebih tertekan memandangkan banyak bahan keperluan asas rakyat Malaysia adalah diimport.

Saya berharap pihak Bank Negara Malaysia akan dapat mengekalkan tahap profesionalisma mereka dengan menentang sebarang tindakan yang bakal menyusutkan nilai ringgit dilakukan demi mempertahankan nilai matawang ringgit negara.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
12 Mei 2015

Share on Myspace