TH: Kenapa guna jurunilai antarabangsa?

| .

 

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Selamatkan Tabung Haji, Datuk Mahfuz Omar mempersoal tindakan Tabung Haji (TH) menggunakan khidmat Jones Lang Wootton (JLW) sebagai penilai hartanah dalam urusan pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Beliau berkata, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana terdapat ramai penilai hartanah muslim yang berkelayakan untuk melaksanakan tugasan tersebut.

"Ini didedahkan dalam blog The Benchmark, kenapa guna jurunilai antarabangsa sedangkan negara ini mempunyai jurunilai muslim.

"Bahkan terdapat jurunilai yang mengatakan harga tanah yang dibeli Tabung Haji dengan kononnya harga diskaun itu hanya andaian dan bukannya nilai yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, harga tanah komersial di kawasan sekitar yang belum mendapat kelulusan untuk pembangunan adalah antara RM500 hingga RM700 satu kaki persegi manakala harga selepas mendapat kelulusan pula ialah RM 1200 hingga RM 1500 satu kaki persegi.

"Sedangkan harga yang dibeli oleh Tabung Haji mencecah RM2700 kaki persegi. Jadi, apakah asas nilai andaian yang digunakan dalam menentukan harga tersebut?

"Persoalan yang wajar juga diingatkan ialah 1MDB dan Tabung Haji merupakan entiti kerajaan.

"Mengapa, pandangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) tidak digunakan untuk mendapatkan penilaian bebas?," soal beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut berpendapat, walaupun perkhidmatan swasta dibenarkan untuk diguna, tetapi lebih baik pertimbangan dibuat setelah membandingkan hasil penilaian yang dibuat oleh penilai rasmi kerajaan dan swasta.

"Apatah lagi, Jabatan kerajaan pastinya akan membuat penilaian yang lebih mempertahankan entiti milik kerajaan agar wang milik rakyat tidak digunakan dengan sesuka hati oleh pihak terbabit.

"Saya menuntut penjelasan dan ketelusan Tabung Haji untuk menjawab persoalan ini kerana TH merupakan institusi berprestij yang dimiliki ummat Islam di Malaysia. Amatlah malang apabila ia digunakan untuk kepentingan pihak tertentu," sambung beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. - HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace