Najib wajar bubar parlimen, beri rakyat buat pilihan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera membubarkan parlimen bagi memberi rakyat membuat pilihan semula.

Beliau berkata demikian berikutan kegagalan Najib dalam menguruskan ekonomi negara yang mengakibatkan berlakunya keborosan.

"Najib mesti bertanggungjawab ke atas kecelaruan ekonomi yang berlaku kepada negara ini sekarang.

"Kerajaan Najib telah berbelanja mewah, boros dan kebocoran yang amat teruk menyebabkan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang terlalu parah, malah hutang telah melebihi RM750 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, skandal menyelamatkan 1MDB melalui penyelewengan Tabung Haji serta skandal kewangan yang berlaku perlu dipertanggungjawabkan ke atas Najib sepenuhnya.

"Najib perlu segera bubar parlimen akibat dari kegagalan beliau, beri mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan siapa yang sepatutnya memerintah.

"Rakyat Malaysia mesti bertindak seperti mana Korea Selatan yang mampu mengheret bekas Presiden ke penjara," katanya lagi.

Mohamad yang menegaskan, selain kegagalan Najib kewibawaan intitusi penyiasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut berada pada tahap yang rendah apabila kes-kes seperti Teoh Beng Hock, siasatan ke atas mantan Ketua Menteri Sarawak membuktikan kegagalan intitusi itu mempertahankan kepentingan rakyat. - HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace