Mapim gesa henti hidang arak atas pesawat

| .

 

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan menghentikan penyediaan arak di atas semua pesawat syarikat penerbangan Malaysia .

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, insiden baru-baru ini apabila penerbangan MH179 terpaksa berpatah balik disebabkan seorang penumpang yang mendesak dihidangkan arak membuktikan arak di atas pesawat boleh membahayakan penerbangan.

"Kami menegaskan sekali lagi kewujudan arak untuk dihidang atas permintaan penumpang di atas pesawat bukan menguntungkan syarikat penerbangan kerana kebanyakan penumpang tidak kira warganegara tidak suka penumpang yang berpotensi mabuk di atas pesawat.

"Insiden penumpang mabuk boleh membahayakan pesawat ketika berada di udara kerana tindakan ganas yang tidak boleh diduga boleh berlaku. Kita tidak boleh membayangkan jika pesawat berkenaan tidak boleh dikawal kerana tindakan penumpang yang mabuk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan tindakan juruterbang untuk berpatah balik ke lapangan terbang sebagai tindakan yang bijak demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

"Kami sangat kecewa , gesaan berkali-kali pelbagai pihak supaya syarikat penerbangan Malaysia MAS bebas dari arak masih tidak diendahkan oleh kerajaan.

"Apakah alasan kerajaan untuk terus mengekalkan status hidangan arak di atas pesawat? Bukankah sampai masanya kerajaan mengambil sikap yang tegas atas prinsip keselamatan dan tuntutan agama, bahawa arak tidak perlu lagi dihidang di atas pesawat Malaysia sema ada untuk destinasi domestik mahupun antarabangsa," katanya.

Menurutnya, di Australia gesaan untuk mengharamkan hidangan arak di atas pesawat semakin kuat disuarakan oleh pelbagai NGO.

Mereka beralasan kebanyakan penumpang mengalami keletihan di atas pesawat apabila berada di samping penumpang lain yang mabuk atau mereka yang minum arak ketika di laounge lapangan terbang.

Mereka mendesak tindakan mengharamkan arak di atas pesawat apabila berlaku beberapa insiden tingkah laku anti sosial di atas pesawat.

"Kami dengan ini mengulangi gesaan supaya MAS dan semua syarikat penerbangan Malaysia yang lain seperti Firefly , Malindo dan Air Asia memutuskan supaya menghentikan hidangan arak di atas pesawat masing-masing di semua destinasi," katanya. - HARAKAHDAILY 13/5/2015

Share on Myspace