Pendidik, Hesa anjur himpunan pendidik 16 Mei

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) sebuah entiti di bawah Lajnah Pendidikan PAS Pusat dengan kerjasama Pertubuhan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah (Hesa) bakal menganjurkan satu pertemuan yang akan menghimpun dan meraikan warga pendidik di seluruh Malaysia.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata himpunan itu bakal diadakan 16 Mei ini bertempat di Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks Batu 9, Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Katanya, tujuan program Himpunan Pendidik Islam Malaysia 3.0 itu diadakan adalah untuk membina rangkaian hubungan yang rapat antara pendidik, ustaz dan ustazah seluruh Malaysia.

Menurut beliau, himpunan itu juga diadakan bagi meraikan guru-guru, tokoh-tokoh pendidik dan pengurus pendidikan pelbagai institusi dari seluruh pelosok tanah air.

Tambahnya, majlis itu akan diserikan lagi dengan kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan pidato ucaptama seusai menerima anugerah ‘Tokoh Murabbi Ummah'.

Katanya lagi, tazkirah dalam slot Kalam Murabbi Ummah akan disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut mengisi program ialah Adik Haikal Firdaus Jaafaruddin, 12, dari Johor yang dijemput untuk mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan persembahan nasyid kumpulan Far East. - HARAKAHDAILY 13/5/2015

Share on Myspace