Surat untuk Isa, desak berundur dari Felda

| .

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menulis surat kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bagi mendesak beliau meletakkan jawatannya.

Naib Presiden Anak, Nasaie Ismail berkata, Isa mesti berundur dari Felda kerana menipu peneroka dan kakitangan Felda serta berlaku kejam kepada pegawai-pegawai kanan Felda yang berkhidmat lebih 30 tahun dengan tanah rancangan itu.

"Datuk Zulkefli Wahab, bos no 1 Felda dibuang. Datuk Sarchu Sawal, bos no 1 Koperasi Permodalan Felda KPF dihentikan, Mohamad Ibrahim bekas no 2 FELDA, Datuk Faizol Ahmad, Pengarah Besar FELDA yang mengampu kamu pada awalnya pun dibuang dari Felda.

"Isa baru 4 ke 5 tahun masuk FELDA jadi pengerusi, huru-hara Felda," katanya.

Nasaie berkata, KPF beberapa tahun mendapat anugerah Koperasi terbaik nombor 1 di Malaysia dan nombor 20 di dunia.

Pencarumnya adalah peneroka, anak-anak peneroka dan kakitangan Felda dengan dividen tahunan melebihi 15 peratus, lebih tinggi daripada Tabung Haji.

Hatta zaman ekonomi meleset 1997, KPF masih boleh memberi 10 peratus dividen.

Saham KPF pada 1996 hanya RM200 juta namun 2012 meningkat menjadi RM2 bilion.

Felda juga mengusai pelaburan Felda Holding sekitar 50 peratus namun dengan licik dan kejam, Isa berjaya menjadikan saham KPF dimiliki FGV.

Apabila FGV merudum, maka KPF juga terkesan dan Tiada lagi dividen tinggi seperti sebelum ini.

"Hari ini hanya tinggal kenangan. Sahamnya dimiliki FGV. Harga saham FGV sekitar RM2.07 sahaja berbanding RM4.55 ketika disenaraikan di Bursa Malaysia. Peneroka ditipu kononnya untung. Diberi dividen. Walhal peneroka yang tidak membeli saham FGV pun mendapat wang yang sama.

"Bermakna bukan hasil dividen keuntungan FGV. Isa tipu peneroka sehingga mereka terpaksa dan dipaksa membuat pinjaman bank. Hari ini setiap bulan mereka perlu membayar RM50 kepada bank sedangkan untung tidak ada," kata Nasaie lagi.

Menurut Nasaie juga, akibat kegagalan Isa, peneroka menanggung hutang baru lebih RM100 ribu kerana tanaman semula yang diuruskan Felda tidak menjadi.

Katanya, pengurusan ladang yang buruk menyebabkan semak dan hasil berkurangan serta pembayaran wang pendahuluan hasil setiap minggu lewat daripada jadual biasa kerana ketiadaan duit.

"Rumah generasi kedua yang mahal dan sukar dimiliki. Penyelewengan dalam anak syarikat Felda melibatkan kroni Isa dan ahli politik katak yang melompat dari Pakatan Rakyat ke Barisan Nasional. Tunggu satu persatu akan didedah.

"Isa, masa anda sudah tamat. Anda perasuah yang membeli undi untuk menang naib presiden Umno. Anda rosakkan Felda Sendayan dan LBJ dengan janji palsu jadi jutawan ketika anda menjadi MB Negeri Sembilan. 4 ke 5 tahun di FELDA, anda jahanamkan Felda," tegasnya.

Justeru beliau mahu Isa meletak jawatan dan beliau mesti disiasat atas dakwaan salah guna kuasa yang dilakukan.

"Datuk Seri Najib Razak juga tidak terlepas. Anda yang melantik Isa dan merestui kerja Isa. Setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi batalkan penyenaraian Felda pada zamannya, Najib melaksanakannya pada zaman beliau. Rosak. Cukup dan cukup," katanya. - HARAKAHDAILY 13/5/2015

Share on Myspace