Najib mesti bawa skandal 1MDB ke parlimen

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara sahaja, Datuk Seri Najib Razak mesti jelaskan isu 1MDB di parlimen.

"Saya tidak nafikan bahawa ia adalah hak Umno untuk memberikan penjelasan kepada ahli-ahli Umno berkenaan isu-isu yang dikaitkan dengan Presiden Umno," kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Tetapi, ujarnya harus disedari bahawa Najib ialah Perdana Menteri Malaysia dan 1MDB adalah milik Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan yang mana beliau juga adalah menterinya.

Katanya, krisis yang melanda 1MDB memberi kesan langsung kepada status kewangan negara yang mana rakyat sebagai pembayar cukai adalah antara penyumbang terbesar pendapatan negara.

"Lainlah jika Umno berpendirian bahawa harta dan wang kerajaan adalah milik Umno," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, kalaulah Najib melihat ada kewajaran memberikan penjelasan kepada etua-ketua Umno bahagian berkenaan isu-isu yang dikaitkan dengan beliau bagi memulihkan mandat Umno terhadap beliau sebagai Presiden Umno, maka bagi memulihkan mandat beliau sebagai Perdana Menteri pula amat wajar sekali jika Najib menjelaskan isu itu di parlimen.

Ini, ujar beliau kerana rakyat Malaysia bukan ahli dan penyokong Umno sahaja.

"Harus diingati bahawa Barisan Nasional (BN) hanya menguasai 47.38% undi sahaja daripada seluruh rakyat Malaysia dalam PRU13 yang lepas, dan saya yakin kini ia semakin merosot," Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tidak cukup dengan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara sahaja, Datuk Seri Najib Razak mesti jelaskan isu 1MDB di parlimen. - HARAKAHDAILY 13/5/2015

Share on Myspace