Roboh gerai demi pemandangan kondominium

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Tanpa sebarang alasan serta notis yang singkat diberikan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG) untuk kerja meroboh beberapa gerai makan serta premis perniagaan di Kampung Pasir Baru, menimbulkan perasaan tidak puas hati pemilik-pemilik premis tersebut.

Aidawati Mohd Yusof yang mengusahakan gerai makan ketika ditemui berkata, beliau telah memulakan perniagaan sejak 40 tahun lalu tanpa ada sebarang masalah atau aduan walaupun adanya pembinaan New Pantai Expressway (NPE).

"40 tahun lebih kakak berniaga di sini, tidak ada sebarang aduan diterima daripada mana-mana pihak sama ada masyarakat sekeliling ataupun pengurusan NPE.

"Malah gerai ini pun tidak mengganggu lalu lintas di sini, tetapi surat merah dari PTG mengatakan arahan untuk merobohkan gerai kami ini satu yang mengecewakan.

"Tidak ada sebarang alasan diberikan dan kami hanya dapat tahu hanya untuk membolehkan pemandangan yang cantik dari kondominium yang sedang dibina, gerai kami menjadi mangsa," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Beliau berharap agar pihak berwajib tampil berbincang dengan pemilik-pemilik gerai untuk mencari jalan penyelesaian.

"Kakak tidak pernah dipanggil untuk berbincang, kami terkejut dengan surat arahan meroboh. Kita perlu cari jalan penyelesaian dan kalau betul ingin roboh perlu sediakan tempat untuk kakak meneruskan perniagaan termasuk pampasan yang sewajarnya.

"Kami bukannya buka gerai haram, ada lesen yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), notis yang dikeluarkan 23 April dan tamat hari ini amat singkat," katanya lagi.

Sementara itu, Sharul Nizam Kasim yang merupakan penguasa kedai besi turut menerima tempias yang sama apabila menerima surat arahan meroboh.

Jelas beliau, tempoh dua minggu itu adalah tidak masuk akal untuk beliau mencari tapak baru perniagaannya.

"Saya risau tentang arahan perobohan ini, sebelum roboh saya perlukan tempat baru dan buat masa ini saya tidak tahu ke mana kami nak pergi.

"40 tahun saya berniaga dan lokasi ini memudahkan pelanggan, saya ada lesen berniaga tetapi kenapa perlu pindah," katanya.

Beliau yang turut kesal kerana tiada alasan diberikan pihak bertanggungjawab untuk arahan meroboh premisnya dan beberapa gerai berdekatan.

"Tidak ada alasan diberikan dan yang saya dapat maklum adalah kerana pembinaan kondominium mewah.

"Kita mahu selesai secara baik, datang jumpa kami. Kalau betul nak roboh beri pampasan dan tempat baru untuk saya berniaga," sambungnya lagi.

Dalam pada itu, sehingga jam 11.30 pagi tadi tidak ada sebarang kerja-kerja meroboh premis ataupun kakitangan PTG dan DBKL di sekitar gerai tersebut walaupun arahan meroboh sepatutnya dilakukan pada jam 9.30 pagi, turut hadir di lokasi adalah Ahli Parlimen lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. – HARAKAHDAILY 13/5/2015

Share on Myspace