Cadangan PR selesai masalah pengangkutan di Johor

HARAKAHDAILY | .

Kertas Dasar Pakatan Rakyat Johor berkenaan Pengangkutan:
Cadangan Jangka Pendek untuk Menyelesaikan Masalah Pengangkutan di Negeri Johor

Ringkasan Eksekutif

Memandangkan perkembangan pesat di Wilayah Iskandar Malaysia serta hubungan yang kian rapat dengan Singapura, Pakatan Rakyat Johor berpendapat bahawa satu Pelan Induk Pengangkutan Negeri Johor (Johor Transport Masterplan) yang menyeluruh perlu dilaksanakan segera bagi menyelesaikan masalah pengangkutan yang kian serius di bandaraya Johor Bahru dan juga sebagai persediaan untuk menampung peningkatan trafik akibat pembangunan pesat di negeri Johor.

Pada tahun 2012 sahaja, terdapat 173,000 buah kenderaan bermotor baru didaftarkan di negeri Johor. 95% daripada jumlah tersebut merupakan kereta dan motosikal. Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah kenderaan bermotor terbanyak di Malaysia (selain jumlah ketiga-tiga Wilayah Persekutuan) iaitu, kira-kira 3.1 juta. Daripada jumlah tersebut, 1.3 juta merupakan kereta dan 1.6 juta merupakan motorsikal. Populasi Johor adalah seramai 3.5 juta orang. Bandingkan negeri Selangor yang mempunyai populasi kira-kira 5.4 juta tetapi hanya mempunyai 2.5 juta buah kenderaan bermotor.

Keadaan begini, dan lokasi negeri kita sebagai pintu keluar-masuk ke negara jiran Singapura menjadikan isu pengangkutan sebagai isu penting dalam perancangan pembangunan negeri.

Pelan Induk Pengangkutan Awam yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Johor tidak memadai sebagai peta laluan (routemap) untuk pembangunan Johor dalam tempoh sepuluh tahun yang akan datang. Kerajaan negeri tidak boleh hanya menumpu kepada aspek pengangkutan awam sahaja dalam perancangan pengangkutan tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang akan diterangkan dalam kertas dasar pengangkutan ini.
Pakatan Rakyat Johor membentangkan kertas dasar pengangkutan ini sebagai asas kepada perbincangan yang lebih menyeluruh tentang sistem pengangkutan di negeri Johor.

Cadangan-cadangan dalam kertas dasar pengangkutan negeri Johor ini adalah seperti berikut:

1. Menubuhkan Dana Pengangkutan Negeri Johor daripada perkongsian hasil VEP 50-50 antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Johor. Dana tersebut harus digunakan untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan termasuk pengangkutan awam, merangkumi keseluruhan negeri Johor.

2. Memansuhkan tembok tol di Selat Tebrau bermula dengan pengurangan kadar tol di kedua-dua laluan penghubungan Johor-Singapura.

3. Mengurangkan kadar tol bagi kenderaan kelas 2 dan 3 di Linkedua sebagai memberi insentif kepada kenderaan kategori tersebut menggunakan Linkedua dan seterusnya menyuraikan trafik daripada Tambak Johor.

4. Perancangan pengangkutan negeri Johor perlu mengambil kira trafik Johor-Singapura.

5. Kadar tol di Woodlands dan Tuas perlu diturunkan selaras dengan kadar tol di sebelah Malaysia.

6. Kaunter imigresen di Tuas perlu ditambah bagi mengendalikan peningkatan trafik kenderaan berat di situ.

7. Pakatan Rakyat Johor menyokong pembinaan laluan ketiga Johor-Singapura tetapi projek tersebut haruslah dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka berasaskan prinsip CAT.

8. Tambak Johor patut dijadikan laluan pengangkutan awam setelah jambatan ketiga siap dibina.

9. Projek Landasan Kereta Api Berkembar perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum kerajaan melancarkan projek HSR yang baru.

10. Rangkaian bas awam perlu dirancang secara serentak dan selaras dengan RTS dan HSR bagi memastikan masalah jurang batu pertama dan batu terakhir (first and last mile gap) sistem transit dapat diatasi.

11. Negeri Johor perlu mempunyai suatu Pelan Induk Pengangkutan (Johor Transport Masterplan) yang merangkumi aspek trafik, infrastruktur pengangkutan termasuk pengangkutan awam, penggunaan tanah (land use), perjalanan antara bandar dan wilayah termasuk Singapura, aspek kewangan serta perancangan masa depan.

Dibentangkan oleh:

WONG SHU QI
Ahli Dewan Negeri Johor
Kawasan Senai

Kenyataan media disahkan oleh:

LIEW CHIN TONG
Pengerusi DAP Johor

HJ AMINOLHUDA HASSAN
Pesuruhjaya PAS Johor

HASSAN KARIM
Pengerusi KeADILan Johor 

Share on Myspace