Selepas PNB nafi, siapa sebenar beli sukuk 1MDB?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dua hari lepas, Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengaku membeli sukuk Bandar Malaysia terbitan 1MDB sebanyak RM920.8 juta pada Februari 2014.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini menafikan dakwaan ia terlibat dalam pembelian sukuk keluaran 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM1.5 bilion.

"Jadi, siapa sebenarnya membeli sukuk 1MDB atau dalam erti kata meminjam duit kepada 1MDB? Apakah ia satu lagi badan berkanun kerajaan atau pihak asing?" tanya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, kata beliau persoalannya mudah ialah di manakah duit RM1.5 bilion ini hasil jualan sukuk ini sekarang.

Begitu juga, ujar beliau dengan duit hutang RM3.5 bilion yang dipinjam daripada enam bank yang diketuai Deutsche Bank.

"Di manakah duit RM3.5 bilion ini sekarang?" soalnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan apakah status suntikan oleh Putrajaya dalam bentuk standby credit RM950 juta ke dalam 1MDB yang diperakui Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Mac 2015? Di manakah duit RM950 juta itu sekarang?

"Bagaimana pula dengan duit untung RM188 juta yang diperolehi daripada penjualan tanah TRX kepada TH baru-baru ini?

"Di manakah duit ini sekarang?" tanya Tuan Ibrahim.

Tambahnya, tidak dinafikan banyak perkara yang di dalam 1MDB menimbulkan seribu satu persoalan dan transaksi melibatkan 1MDB amat merumitkan.

"Tapi segalanya itu boleh dirangkum dalam satu persoalan yang mudah – di manakah duit 1MDB sebanyak RM42 bilion yang dipinjam daripada merata tempat ini sekarang kerana Bandar Malaysia dan TRX yang diwar-warkan masih jauh daripada direalisasikan?" ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Penasihat 1MDB boleh menjawab persoalan itu. - HARAKAHDAILY 13/5/2015

Share on Myspace