Arak: Kerajaan, MAS tidak serius kecoh dalam pesawat

HARAKAHDAILY | .

Islam meletakkan suatu asas yang kukuh bagi menjaga kemaslahatan dan kebaikan hidup individu, keluarga dan masyarakat.

Pengharaman arak yang boleh membawa kepada seribu satu masalah sosial di dalam negara sebagai contoh, adalah merupakan satu bentuk penguatkuasaan yang tegas oleh Islam demi menjaga kemaslahatan hidup tersebut. Ini disebutkan di dalam Al-Quran:
“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar (arak) dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan ada juga beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya itu adalah lebih besar dari manfaatnya.” (Surah Al-Baqarah: 219).

Beberapa hari yang lepas berlaku kejadian pesawat MAS, penerbangan ke Colombo terpaksa berpatah balik kerana kekecohan yang berlaku melibat penyediaan arak.

Kejadian menakutkan seumpama ini yang kerap didengari sama ada di atas pesawat mahupun dalam kehidupan seharian adalah bertitik tolak dari keengganan untuk menutup ruang ke atas berleluasanya minuman arak yang sememangnya antara punca utama kerosakan dalam masyarakat dan kehidupan.

Di dalam Islam, kesalahan meminum arak juga termaktub di dalam hukuman jenayah syariah. Mereka yang didapati bersalah akan dirotan sebanyak antara 40 hingga 80 kali. Ia dianggap suatu kesalahan yang besar kerana jenayah dan penyakit sosial yang berlaku selepas seseorang meminum arak adalah sangat dahsyat, malah ada yang sampai kepada jenayah membunuh.

Maka sebagai langkah mencegah, peminum arak selayaknya dihukum. Hukuman rotan yang dianjurkan oleh Islam sudah terbukti sejak sekian lama mampu menginsafkan dan mendorong peminum arak untuk tidak lagi menjamah minuman 'kencing syaitan' itu.

Laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melaporkan Malaysia negara kesepuluh pengguna arak terbesar di dunia di samping membelanjakan USD500 juta untuk arak setiap tahun. Jumlah itu menunjukkan penggunaan arak di Malaysia adalah kira-kira 7 liter sehari bagi setiap ‘per kapita’. Ia adalah jumlah yang secara relatifnya agak tinggi.

Penggunaan arak di kalangan mereka yang berada di bawah umur adalah 45 peratus. Ini satu jumlah yang tinggi dan cukup membimbangkan. Bukan hanya soal keselamatan masyarakat daripada masalah-masalah jenayah sahaja yang perlu dibimbangkan, malah, masa depan mereka sebagai pewaris generasi akan datang juga harus difikirkan.

Saya melihat isu pengawalan kepada penjualan arak di negara ini perlu diambil perhatian yang serius oleh kerajaan. Peminuman arak sudah terbukti sebagai satu jenayah yang melahirkan pelbagai jenis jenayah-jenayah yang lain. Ia tidak memerlukan lagi pemerhatian atau ujikaji lain untuk membuktikannya.

Selepas negara Singapura yang melaksanakan beberapa peraturan berhubung pembelian dan peminuman arak di tempat awam awal April yang lalu, kerajaan Indonesia juga mengambil langkah yang sama. Sebanyak 16,000 pasar mini dan 55,000 kedai runcit dilarang menjual minuman beralkohol.

Begitu juga di Korea Selatan. Demi menghalang galakan besar-besaran terhadap ketagihan arak, Seoul telah mengenakan undang-undang melarang mereka yang berada di bawah umur 25 tahun daripada terlibat dalam sebarang iklan mempromosi minuman itu.

Ia selepas satu data yang menunjukkan 64.8 peratus daripada remaja perempuan negara tersebut ketagihan arak manakala satu daripada sepuluh orang dalam kalangan mereka adalah peminum tegar.

Sebagai sebuah negara majoriti muslim, sepatutnya langkah pengawalan jualan arak tidak menjadi masalah yang begitu besar. Kawalan terhadap arak tidak akan menjejaskan hak non muslim untuk memperolehinya.

Kawalan yang dianjurkan adalah bertujuan menjauhkan individu muslim daripada mendekatinya dan mengelak seluruh rakyat daripada didorong mendekati arak secara mudah yang akan membawa ketagihan arak.

Begitu juga penyediaan arak di atas pesawat yang telah mendapat bantahan ramai pihak sejurus dari peristiwa malang menimpa pesawat MAS iaitu MH370 dan MH17. Malangnya, ia tidak diambil perhatian secara serius oleh syarikat pengurusan MAS dan kerajaan sendiri.

Kerajaan Kelantan sudah melaksanakan kawalan penjualan arak sejak lebih 20 tahun lalu dan sudah terbukti berkesan. Ia tidak menghalang pihak negeri daripada mendengar pandangan dan rayuan masyarakat non muslim di dalam perlaksanaannya.

Paling menarik, golongan wanita dan para isteri di kalangan non muslim adalah antara yang paling kuat menyokong perlaksanaan kawalan penjualan arak tersebut. Alasannya begitu mudah difahami.

Ironinya, langkah tersebut dilihat begitu sukar untuk dilaksanakan kerana menjaga pihak-pihak berkepentingan. Jika 1001 cara digunakan untuk mengurangkan gejala sosial, namun jika 'ibu' kepada jenayah ini dikesampingkan, maka tunggulah 1001 kerosakan baru yang pasti akan terus berlaku dan menghantui negara kita!

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Pasir Mas
14 Mei 2015
HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace