Kad prabayar: Benarkah beli RM10 dapat RM10?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kaedah terbaru berhubung kad prabayar kononnya "beli RM10 dapat RM10" yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak ada bezanya sebelum ini.

"Dulu Ahmad Maslan yang uruskan GST untuk kad prabayar dikata tidak berapa cerdik, tapi Shabery Cheek ternyata lagi kuat belitnya. Dia kata kaedah baru ialah beli RM10 dapat RM10 dan GST berdasarkan penggunaan.

"Tak ada beza pun dengan dahulu...," tulis Penganalisis Politik Shahbudin Husin di Facebooknya sebaik sahaja pengumuman itu dibuat Putrajaya.

Katanya, ramai terkeliru dengan pengumuman Shabery Cheek terutama ayat 'beli RM10 dapat RM10' dan GST dikenakan berdasarkan penggunaan.

Jelasnya, ia sebenarnya bermaksud kad prabayar telefon tetap ada GST iaitu dikenakan setelah penggunaan, maknanya kalau penggunaan RM100, wajib kena tambah GST RM6.

Tambah beliau, begitu juga kad prabayar berharga RM10 apabila digunakan serta merta akan berkurangan menjadi RM9.43.

Jelasnya,  kaedah itu tidak ada bezanya dengan harga setelah GST yang diperkenalkan sejak awal April lalu  iaitu pembeli akan dikenakan bayaran GST 60 sen untuk kad prabayar berharga RM RM10.00.

"RM10 dapat RM10 hanya kekal apabila kad itu tidak digunakan atau disimpan sebagai kenang-kenangan. Semuanya wal hasil balik asal," bidasnya.

Malah beliau turut melahirkan rasa simpati kepada anak-anak muda, penuntut universiti, pekerja rendah dan suri rumah yang banyak menggunakan kad prabayar ini.
 
"Pandai-pandailah ya bila masa mengundi nanti...," sambung beliau.

Semalam, Kabinet bersetuju kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan prabayar telefon akan dikenakan berdasarkan penggunaan.

Shabery Cheek mengumumkan kerajaan juga setuju kadar nilai kad prabayar telefon ditetapkan pada harga RM10 dengan pengguna masih mendapat nilai yang sama.

Shabery berkata pelaksanaan GST berdasarkan penggunaan akan berkuatkuasa sepenuhnya dalam tempoh 6 bulan lagi, dan buat masa ini penggunaan akan dikenakan caj seperti biasa.

Sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu, pelbagai pihak membantah cukai itu dikenakan bagi kad nilai prabayar.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan pada awalnya berkata akan mengenakan tindakan terhadap syarikat telco yang mengenakan GST ke atas pengguna.

Bagaimanapun, Jabatan Kastam kemudiannya memutuskan caj GST pada kad nilai prabayar tetap akan dikenakan.

Ekoran kekeliruan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan hanya Shabery sahaja yang boleh membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace