Adakah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selamat?

HARAKAHDAILY | .

Alhamdulillah, kita merakamkan rasa syukur dengan peluang untuk bersama-sama kembali dalam dewan yang mulia ini bagi memutuskan kepentingan yang terbaik untuk rakyat Terengganu. Saya menjunjung kasih titah tuanku Sultan dalam istiadat pembukaan penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri ke-13. Saya tertarik dengan titah tuanku Sultan ketika baginda membicarakan tentang Stadium Sultan Mizan yang dikatakan dapat digunakan sepenuhnya sejak April 2015. Saya juga bercadang dalam kesempatan ini untuk menumpukan hal ini sahaja supaya perbahasan ini dapat difokuskan.

Izinkan kepada saya memulakan ucapan ini dengan memetik firman Allah SWT di dalam surah Yusuf ayat 54-55: Maksudnya: “Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami”. Yusuf berkata: “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir). Sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.

Nabi Allah Yusuf a.s. diberikan kepercayaan untuk mentadbir negeri yang besar ketika itu. Atas kepercayaan pada keupayaan dan integriti Nabi Yusuf a.s maka baginda berjaya mengemudi negeri Mesir pada waktu itu sehingga menjadi negeri yang terbaik. Apa kuncinya? Kuncinya adalah sebuah kerajaan yang hafiz dan alim (penjaga yang baik dan bijaksana). Kita mahu supaya sebuah negeri mesti ada pemimpin yang hafiz (orang yang sentiasa menjaga hak rakyat, kepentingan rakyat) dan bukan setakat itu, (pemimpin itu) mesti tahu apa yang dia buat. Bukannya tangkap muat atau diambil sahaja untuk kepentingan politik tertentu, maka diletakkan sebagai pemerintah negeri.

Dalam titah ucapan tuanku Sultan, baginda menyentuh berkenaan Stadium Sultan Mizan. Memang rakyat Terengganu sangat bergembira dengan munculnya stadium baru di negeri ini. Kami juga turut bergembira dengan keadaan ini setelah melalui detik suram keruntuhan sebahagian bumbung stadium. Sebagaimana tuanku Sultan, merakamkan ucapan tahniah atas pembukaan ini, saya juga mengambil peluang yang sama untuk turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua dengan peluang menyaksikan stadium ini digunakan kembali.

Pun begitu, ada baiknya dalam dewan yang mulia ini kita cuba mempersoalkan pihak kerajaan berhubung status keselamatan fizikal stadium ini. Impak keruntuhan bumbung stadium ini menyaksikan beberapa bahagian stadium juga terjejas. Walaupun dapatan siasatan yang dilakukan tidak diperolehi secara terperinci kepada wakil rakyat. Paling tidak ia diketahui umum kesan runtuhan bumbung stadium. Ya, kita ikuti maklum balas FAM yang telah memberikan keputusan untuk membenarkan penggunaan stadium ini. Kita bersetuju dan faham dalam hal ini. Cuma kami ingin mendapat penjelasan, pihak manakah yang telah memberikan perakuan bahawa bangunan ini selamat digunakan khususnya dalam meletakkan sekumpulan besar penyokong bola sepak yang pastinya cara duduk mereka tidak statik sepanjang menonton perlawanan. Adakah ia diperakui pihak JKR bahawa stadium ini telah selamat? Atau memadai dengan pihak FAM? Atau di bawah kerajaan negeri sendiri yang memperakuinya?

Saya melihat kerja-kerja semakan yang dibuat FAM lebih kepada elemen persediaan perlawanan. Kelengkapan stadium, pencahayaan, bilik persalinan pemain dan seumpamanya. Di dalam laporan Bernama, saya difahamkan stadium ini hanya akan digunakan 3 tingkat sahaja berbanding 5 tingkat keseluruhan. Ini juga menimbulkan tanda tanya rakyat. Kalaulah stadium ini telah selamat digunakan, kenapa tidak dibuka keseluruhan? Mengapa lokasi di bahagian atas tidak boleh digunakan?

Justeru, sekali lagi saya memohon dari dewan yang mulia ini, siapakah yang membuat pengesahan keselamatan bangunan ini digunakan? Adakah selamat untuk 3 tingkat sahaja dan 2 tingkat yang berbaki masih belum selamat? Jika benar dakwaan ini, apakah sanggup pihak kerajaan mencuba nasib keselamatan rakyat sendiri untuk membuktikan Stadium Sultan Mizan layak digunakan?

Pada tahun yang lalu, dewan dimaklumkan tentang perincian perbelanjaan membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dilaporkan sebanyak 100 juta. Breakdown yang diberikan (sekadar ingatan bersama) seperti membaiki struktur dan lain-lain kelengkapan, RM18 juta, membaiki sistem elektrik, RM20 juta, membaiki sistem mekanikal, RM14 juta dan membina semula bumbung baru, RM48 juta.

Sama ada kita sedar atau tidak, perbelanjaan pembinaan dan pemulihan kembali Stadium Sultan Mizan telah menggunakan perbelanjaan yang sangat besar dari duit rakyat. Kos asal sebanyak RM191 juta. Kerana kelewatan, kos baru mencecah RM292 juta. Kos baik pulih pula sebanyak RM100 juta. Jumlah keseluruhan stadium ini mencecah perbelanjaan sebanyak RM392 juta. Apakah dengan jumlah yang besar dari wang rakyat ini, kita tidak boleh persoalkan keselamatan penonton (rakyat) setelah insiden yang berlaku sebelum ini?

Saya merasakan beberapa lontaran yang disampaikan dalam ucapan pada hari ini adalah dengan tujuan kebaikan bersama. Kami timbulkan perkara ini, ekoran kebimbangan pada faktor keselamatan rakyat khususnya pengunjung stadium. Penonton bola sepak di dalam stadium tidak bersifat statik sepenjang mereka menonton. Penonton dan penyokong sangat dinamik pada waktu itu. Pelbagai aksi akan berlaku secara serentak. Keupayaan bangunan yang pernah mengalami keruntuhan bumbung ini dipersoalkan kerana kami tidak mengetahui secara terperinci baik pulih yang berlaku di dalam stadium.

Tidakkah ‘bleachers’ penonton dibina dari ‘precast concrete’? Tidakkah ‘bleachers’ ini turut berlaku rekahan dan terjejas akibat runtuhan bumbung? Ia pula diperbaiki hanya dengan menusuk dua batang besi sokongan untuk setiap ‘bleachers’? Apakah benar apa yang saya sebut ini? Pihak kerajaan dipohon untuk menjawab dan menjelaskan kepada rakyat.

Sokongan untuk pasukan Terengganu sangat kukuh daripada pihak kami. Sememangnya kami berhasrat untuk melihat pasukan Terengganu terus meraih kemenangan dan kejayaan di dalam mana-mana perlawanan. Kita mengharapkan agar perlawanan bola sepak antara pasukan Terengganu dan Lions pada 16 Mei nanti akan meraih kemenangan yang baik untuk pasukan Terengganu.

Saya mengira, dengan beberapa persoalan yang berkait dengan stadium ini akan dapat diperjelaskan kepada ahli dewan dan juga kepada rakyat. - HARAKAHDAILY 14/5/2015

Tulisan di atas ada ucapan Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim (foto atas) ketika membahaskan titah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, 12 Mei 2015 jam 4.00 petang.

Share on Myspace