TPP: Malaysia mesti tarik diri sekarang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Malaysia supaya menarik diri daripada rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) memandangkan Senat Amerika Syarikat (AS) telah mengundi menentang pertimbangan kuasa Fast Track pada kali ini.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata Senat AS sepatutnya menjadi tempat di mana Fast Track atau Trade Promotion Authority dapat diluluskan dengan mudah.

Bagaimanapun, katanya Senat mengundi 52-45, kurang 60 undi yang diperlukan untuk memberi laluan kepada perbahasan berhubung kuasa perdagangan “Fast Track” untuk Obama.

Menurut beliau, hanya seorang ahli Senat Demokrat, menyokong langkah itu, walaupun White House berkempen untuk memenangi sokongan Demokratik.

Beliau menambah, perunding TPP dijadualkan bertemu untuk cuba memuktamadkan TPP di Guam minggu ini manakala Menteri negara yang sedang merundingkan TPP dijadualkan bertemu akhir Mei 2015.

Katanya lagi, kuasa Fast Track bermaksud mekanisma mudah bagi Kongres untuk mengundi berkenaan TPP sebaik ia dimuktamadkan, dan boleh mencegah pengubal undang-undang Amerika daripada meminda rundingan perdagangan tersebut.

"Dalam situasi semasa di mana AS tidak mempunyai kuasa Fast Track, satu pengerusi jawatankuasa atau beberapa senator dalam Kongres AS boleh membuka semula teks TPP selepas ia dimuktamadkan dalam usaha untuk menuntut lebih banyak konsesi dari negara TPP (contohnya perlindungan harta intelektual yang lebih kukuh yang akan membawa kepada ubatan dan buku teks lebih mahal untuk tempoh yang lebih panjang atau menghapuskan cadangan Malaysia melindungi langkah kawalan tembakau) sebagai syarat meluluskan TPP," ujarnya dalams atu kenyataan.

Beliau menambah, beberapa negara terutamanya Jepun telah berkata bahawa mereka tidak akan membuat sebarang komitmen akhir melainkan Presiden AS mempunyai kuasa Fast Track.

Katanya, sebelum membuat konsesi terhadap isu sensitif yang berbaki dalam TPP, negara seperti Kanada, Chile dan Jepun berkeras supaya AS mempunyai kuasa Fast Track supaya mereka lebih yakin bahawa mereka tidak akan diminta untuk membuat konsesi selanjutnya, melangkaui garis merah mereka untuk TPP diluluskan Kongres AS.

"Malaysia perlu berhenti membazirkan sumber berharga dengan terus merundingkan perjanjian perdagangan ini," ujarnya lagi.

Katanya, kegagalan AS untuk mendapat kuasa Fast Track sepatutnya menjadi isyarat bahawa negara yang sepatutnya mendapat manfaat paling banyak tidak mempunyai sokongan yang mencukupi bagi perjanjian yang penuh kontroversi ini.

Justeru, ujar beliau Malaysia dan kerajaan TPP lain perlu menimbangkan dengan serius penentangan yang kuat daripada rakyat terhadap TPP di semua negara yang merundingkannya termasuk AS, dan seharusnya tidak meneruskan rundingan mahupun menandatangani perjanjian itu yang bertentangan dengan kepentingan ramai. - HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace