Sambutan 10 tahun roboh Masjid Bujal bermula 21 Mei

HARAKAHDAILY | .

KEMAMAN: PAS Kawasan Kemaman akan mengadakan sambutan memperingati 10 tahun robohnya Masjid Bujal pada 21, 22 dan 23 Mei ini di Kampung Meraga Beris, Kijal, dekat sini.

Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Alias Abdul Hamid berkata, antara objektif utama sambutan itu ialah mengenang kembali kerakusan dan kezaliman kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kerajaan BN semasa pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh telah merobohkan berpuluh-puluh buah rumah yang dibina penduduk di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kijal pada tahun 2005 termasuk sebuah masjid yang dibina hasil sumbangan derma orang ramai.

Menurutnya, ia adalah kemuncak sifat dendam pemimpin Umno Terengganu terhadap rakyat yang menyokong PAS.

Katanya lagi, perobohan masjid yang hampir siap yang dibina oleh penduduk di RTB Kampung Bujal itu adalah bukti Umno adalah parti yang zalim dan menunjukkan sikap sebenar parti itu terhadap Islam.

Oleh itu, ujarnya pelbagai pengisian berbentuk ilmiah, kemasyarakatan, kesenian, kebudayaan, maklumat dan kesukanan akan dihidangkan kepada rakyat Kemaman khususnya dan rakyat Terengganu umumnya, sepanjang tiga hari sambutan ‘peringatan’ tersebut.

Jelasnya, antara pengisian program ialah kuliah, karnival jualan dan pameran, rawatan Darul Syifa’, bicara bersama selebriti, edaran risalah peristiwa Bujal kepada generasi muda, slot ‘Kemaman Berselawat’, persembahan pantomim dan nostalgia bersama mangsa tangkapan Bujal 2005.

Menurutnya, kepimpinan utama PAS termasuk presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, naib, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ketua penerangan dan timbalannya, Datuk Mahfuz Omar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan mengisi slot ceramah pada sebelah malam 22 dan 23 Mei.

Katanya, sambutan itu akan disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Yahaya Ali pada malam 21 Mei. - HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace