Bantuan banjir Kelantan: BN jangan main politik

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menggesa agar Kerajaan Persekutuan agar tidak bermain politik dalam urusan mangsa banjir di Kelantan.

Kata beliau, tindakan Kerajaan Pusat yang bermain politik dengan melambat-lambatkan pembinaan dan penempatan mangsa banjir merupakan tindakan tidak bermoral.

"Setelah  lima bulan banjir di Kelantan, Kerajaan Persekutuan sangat lembab menguruskan rumah mangsa banjir di sana.

"Kerajaan Persekutuan telah berjanji akan membangunkan 1,221 buah rumah mangsa banjir, malangnya setakat ini hanya 6 buah sahaja atau 0.5% yang telah disiapkan," katanya.

Tambah beliau, seolah-olah Kerajaan Persekutuan mempunyai maksud yang tersirat untuk melambat-lambatkan penyediaan rumah bangsa banjir.

"Pemuda PAS mendesak agar Kerajaan Persekutuan memberi penjelasan kepada rakyat  mengapa hanya 0.5% buah rumah banjir di Kelantan yang hanya dapat disiapkan.

"Terdapat 1,000 buah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kerajaan Persekutuan yang telah siap pada tahun 2013 di Gua Musang.

"Mangsa banjir di Gua Musang yang melibatkan  kemusnahan rumah adalah sebanyak 441 buah, namun sehingga sekarang belum ada sebarang penempatan dilakukan," sambung beliau lagi.

Beliau yang turut mempersoalkan tindakan kerajaan melambat-lambatkan proses penempatan mangsa banjir di Gua Musang dan jika PPR terbabit telah dikhaskan kepada pihak lain tetapi keutamaan adalah untuk mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 15/4/2015

Share on Myspace