Berapa harga PHB jual TRX kepada 1MDB?

| .

KUALA LUMPUR: Pengurusan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) diminta menjelaskan tentang pertukaran hak milik tanah di Tun Razak Exchange (TRX) kepada 1Malaysia Develompent Berhad (1MDB).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PHB yang dahulu dikenali sebagai Pelaburan Hartanah Bumiputra Berhad (PHBB) merupakan pemilik asal tanah tersebut ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dalam menjaga hak bumiputra dari sudut hartanah.

"PHB diberikan tanah tersebut untuk membangunkan ekonomi serta memelihara bumiputera, tanah itu cukup bernilai dan saya pasti harganya mencecah ribuan ringgit kaki persegi.

"Namun apabila PHB menjualnya kepada 1MDB dengan harga yang begitu rendah iaitu sekitar RM64 kaki persegi itu menimbulkan persoalan.

"Kenapa itu berlaku, di mana letaknya matlamat asal PHB dalam menjaga kepentingan bumiputera dan apa yang tersembunyi disebalik urusan penjualan tanah tersebut, siapa yang terlibat serta kenapa jual," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menggesa individu yang bertanggungjawab menjual tanah PHB kepada 1MDB tampil menjelaskan tentang harga sebenar yang dibayar oleh 1MDB.

"Dikatakan bahawa tanah yang diperuntukkan kepada PHB ini berlaku pada era Abdullah lagi dengan tujuan untuk membangunkan tanah tersebut supaya di segi agihan kekayaan negara masih lagi dimiliki bumiputra.

"Namun sebaliknya berlaku matlamat PHB tidak dapat dilaksanakan, kenapa aset yang begitu berharga itu telah bertukar tangan," sambung beliau lagi.

Beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan perjalanan perjanjian di sebalik penjualan tanah tersebut.

Sementara itu web PHB menunjukkan Najib juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera. - HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace