'Kami ambil masa lama menyimpan untuk tunai haji'

HUSIN TAWANG | .

PASIR PUTEH: Bukan mudah penduduk kampung untuk mengumpul sehingga RM10,000 untuk membolehkan mereka menunaikan ibadat haji.

Lebih memeritkan lagi mereka terpaksa pula menunggu bertahun-tahun untuk mendapat giliran ke Makkah, sedangkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dibawa percuma menunaikan haji tanpa perlu mendaftar.

Tahun lepas seramai 1,000 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dipilih menyertai Program Khas Haji Yayasan 1Malaysia Berhad (1MDB).

Seorang penduduk Mohd Yusoff Kundor, 51, lebih malang lagi apabila Lembaga Tabung Haji pula dipergunakan bagi menyelamatkan 1MDB.

Katanya kalau sebelum ini 1MDB menaja imam dan penghulu Umno menunaikan haji, sekarang duit Tabung Haji pula digunakan bagi menyelamatkan IMDB.

“Kami penduduk kampung mengambil masa begitu lama untuk menyimpan sehingga terpaksa berjimat cermat sebagai persiapan untuk menunai haji.

“Tapi tahu-tahu duit simpanan kami pula digunakan bagi menyelamatkan 1MDB. Kalau kegiatan itu tidak didedahkan sudah tentu pendeposit Tabung Haji tidak tahu,” katanya di sini.

Sebelum ini media melaporkan wang caruman Tabung Haji digunakan bagi membeli tanah seluas satu setengah ekar milik 1MDB pada harga RM188.5 juta.

Tabung Haji membayar tanah tersebut pada kadar RM2,774 sekaki sedangkan 1MDB mendapat tanah itu dengan harga RM60 sekaki daripada kerajaan.

Penyelia kilang Azaman Ahmad, 45, berkata skandal itu meluntur keyakinan orang ramai terhadap Tabung Haji yang dipengerusikan pemimpin Umno. - HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace