Malaysia digesa suarakan nasib etnik Rohingya

| .

KUALA LUMPUR: DUNIA dan sejarah menyaksikan, umat Islam yang merupakan minoriti di dalam negara bukan Islam sering menjadi mangsa penindasan, kezaliman dan pembunuhan. Mereka dilayan dan diperlakukan umpama haiwan, disepak bagaikan bola dan dijual beli seperti barang dagangan.

Nasib sama dialami kaum Muslim Rohingya yang dizalimi etnik Buddha Rakhine di negara mereka Myanmar. Apabila adanya pihak menawarkan pertolongan membawa mereka keluar dari kampung halaman dan diberi kehidupan serta pekerjaan, maka disambung seolah-olah ‘orang mengantuk disorongkan bantal’. Hakikatnya tidak ubah seperti ‘Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya’ apabila mereka menjadi mangsa agen pemerdagangan manusia.

Takdir mereka alami tidak semanis harapan yang diimpikan apabila dikurung dalam hutan di Thailand berbulan-bulan tanpa bekalan makanan halal mencukupi serta rawatan perubatan jika mengalami sakit. Ada di antara mereka meninggal dunia kerana keadaan itu dan lebih kejam terdapat mangsa dibunuh pakatan mafia dari Myanmar, Thailand dan Malaysia setelah ahli keluarga atau pihak pembeli tidak melunaskan bayaran dalam tempoh waktu dijanjikan.

Keadaan menyayatkan hati itu terbongkar apabila penduduk di Ban Talok, Padangbasar, Wilayah Songkhla, Thailand menemui 33 mayat tertanam di kebun getah perkampungan itu. Atas fardu kifayah terhadap saudara seagama, Maktab Syeikhul Islam (Jabatan Mufti) Thailand dengan dibantu NGO Islam negara tersebut antaranya Jaringan Pertubuhan Islam dan Masjid Wilayah Yala (Jabim), Thai Islamic Medical Association (Tima), A Khidmat As-Salam PTU dan NGO lain tampil menguruskan semua mayat. Kubur mereka digali semula dan mayat dihantar ke Hospital Hadyai untuk bedah siasat.

Selesai semua urusan rasmi dengan pihak berkuasa Thailand, satu majlis solidariti dan solat jenazah mangsa terbabit diadakan di Masjid Ban Talok, kelmarin. Walaupun dihadiri ramai penduduk setempat termasuk wakil dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Tautan Rahmat, Humaniti Malaysia, Badan Agama dan Pendidikan Islam Singapura dan Persatuan Syarikat Islam Palembang Indonesia, namun suasana pengkebumian berlangsung hening dan hiba.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri yang turut serta pada majlis itu menyatakan solidariti dan perpaduan ummah terhadap tragedi tersebut. Ujarnya, isu tersebut bukan hanya semata masalah umat Islam tetapi adalah isu kemanusiaan yang menuntut perhatian dunia di mana mangsa telah diperalat hingga menjadi mangsa jenayah.

“Kita bukan sahaja mengalami kekejaman seperti berlaku di Palestin, tetapi yang hampir dengan negara kita (Malaysia) di rantau ini adalah nasib saudara se-Islam kita di Rohingya, Myanmar. Tidak jauh mereka dari kita, hanya dalam kawasan Asean juga. Mereka adalah orang-orang yang dianiaya dan dinafikan hak.

“Jadi sebagai saudara se-Muslim terutama dan rakyat Malaysia yang cinta kedamaian dan suka membantu, perlu memandang serius perkara ini. Saya juga menuntut Parlimen Malaysia memperjuangkan isu ini diperingkat Asean dengan memberi tekanan di peringkat antarabangsa,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace