Talian hayat 1MDB ada pada Najib, bubar parlimen

HARAKAHDAILY | .

PENDEDAHAN bloggers The Benchmark mengubah senario isu skandal kewangan 1MDB yang sebelum ini bersilat pencak mengelak hingga adegan saman menyaman kononnya mahu membuktikan syarikat pelaburan kontroversi itu tidak berdepan masalah.

Ia bermula dengan isu pembelian tanah di The Razak Exchange (TRX) yang bernilai RM 188.5 juta selepas diskaun walaupun bagi penilai hartanah tempatan harga itu terlalu mahal buat tanah sebesar setengah padang bola itu.

Pakatan Rakyat melihat dari dekat isu ini sejak isu 1MDB terdedah. Penglibatan Tabung Haji membeli tanah di TRX membuka pekung lebih luas bahawa syarikat 1MDB ini sebenarnya menanti rebah.

Malang sekali mereka yang mengendalikan TH ini khususnya kementerian yang menjaga Tabung Haji iaitu Jabatan Perdana Menteri di bawah menteri yang berkelulusan agama, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom.

Bukan sahaja mereka tidak menasihatkan Perdana Menteri mahupun TH agar tidak melabur dalam TRX untuk menyelamatkan syarikat  itu malah mereka khususnya Jamil Khir yang berkelulusan agama tidak pun membantah, sebaliknya menyokong terus mempertahan kesalahan jelas yang berlaku.

PAS beberapa kali mengusulkan agar siasatan bebas dibuat ke atas 1MDB khususnya bagaimana hutang RM42 billion boleh berlaku.

SPRM mesti mengambil peluang ini untuk mengembalikan wibawa dengan menyiasat kes 1MDB ini sedalam-dalamnya. Kenyataan Tan Sri Abu Kasim pada 15 April yang lalu perlu dibuktikan dengan tindakan yang tuntas demi mengembalikan wibawa SPRM tersebut.
 
Malah selepas terdedahnya transaksi pembelian TRX oleh TH untuk menyelamatkan 1MDB ini seluruh rakyat tidak kira parti menyuarakan kebimbangan dan ketidakyakinan mereka dengan urusan kewangan pendeposit TH.

Rata-rata kecewa wang mereka dikhianati oleh mereka yang menjadi teraju TH yang berkepentingan dalam 1MDB.

Perdana Menteri yang menjadi penasihat kepada 1MDB dan mempunyai akses kepada TH melalui pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim sepatutnya bertanggungjawab dengan kemelut yang berlaku.

Telah banyak rekod menunjukkan sejak mula krisis skandal 1MDB ini menyebabkan kewangan negara makin bermasalah kerana penyelesaian hutang dan kerugian syarikat ini tertumpu pada dana awam yang mahu ditransitkan kepada syarikat ini.

Selepas TH akan ada lagi dana awam bakal diguna secara wewenang untuk selamatkan 1MDB. Mahu atau tidak rakyat harus terus mendesak Najib Razak membubarkan segera Parlimen agar kerajaan yang hilang integriti ini digantikan dengan rakyat menentukan semula kerajaan baharu. - HARAKAHDAILY 14/5/2015

MOHAMAD SABU
Timbalan Presiden PAS
14 Mei 2015

Share on Myspace