Takaful beli sukuk 1MDB, pendeposit TH bimbang lagi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengakuan anak syarikat Tabung Haji (TH) Takaful Malaysia Bhd membeli sukuk 1MDB bernilai RM985 juta sekali lagi membimbangkan para pendeposit TH.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan berkata, ia merupakan satu pembelian yang penuh tanda tanya kerana masalah yang membelenggui 1MDB.

"Mampukah 1MDB mengotakan janjinya memberikan pulangan berserta keuntungan kepada pembeli sukuk tersebut sedangkan riuh di pelbagai media?" tanya beliau dalam sat kenyataan.

Ini katanya kerana 1MDB sedang bergelut mencari penyelesaian terhadap aliran tunai bagi menjelaskan 'hutang mega' miliknya.

Selain itu, ujarnya pengakuan itu juga menimbulkan tanda tanya terhadap penglibatan 4 orang peneraju pengurusan TH dan peranan mereka di kedua-dua institusi itu dan apakah peranan mereka.

Tambahnya, sekali lagi penjelasan TH khususnya daripada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Tan Sri Ismee Ismail dituntut.

"Beliau perlu sedar bahawa umat Islam di Malaysia ternanti-nanti penjelasan daripada beliau," atanya.

Persoalan selanjutnya, kata beliau adakah Pengerusi TH memejamkan mata dan menutup telinga terhadap penglibatan para pengurusan tertinggi TH di 1MDB serta urusniaga yang melibatkan keduanya.

Justeru, ujar beliau Datuk Seri Abdul Azeez, perlu sedar bahawa hubungan yang sebegini antara TH dan 1MDB boleh meragut keyakinan para pendeposit.

"Ia memusnahkan reputasi TH sebagai pemegang amanah dana rakyat umat Islam yang mahu menunaikan rukun Islam kelima.

"Jika Datuk Abdul Azeez sudah keliru dengan fungsi TH, maka itu tandanya beliau perlu mengundurkan diri sebagai Pengerusi TH," ujar beliau lagi.

Tegasnya, umat Islam tidak mahu Pengerusi TH yang tidak peka dengan perkara yang boleh menimbulkan keraguan dan salah sangka. - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Share on Myspace