Bekas menteri Umno tubuh parti baharu, Ikatan

| .

SERI KEMBANGAN: Bekas Menteri Menerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini ‎melancarkan baru yang dinamakan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Beliau berkata, Ikatan merupakan parti untuk generasi akan datang namun tidak meletakkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai fokus utama.

"Penubuhan Ikatan tidak meletakkan PRU sebagai fokus utama dan kita tidak membincangkan perkara ini.

"Ikatan merupakan sebuah parti untuk generasi akan datang, kita ingin kembalikan semula prinsip asal perjuangan pemimpin sebelum ini dalam mengejar kemerdekaan," katanya pada sidang media selepas pelancaran di sebuah hotel di sini.

Menurut beliau lagi, Ikatan akan membawa balik perjuangan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang bersusah payah memerdekakan negara ini.

"Tunku membela rakyat dan perjuangan yang beliau bawa bersih tanpa sebarang isu rasuah.

"Ini yang kita akan perjuangkan dan membawa kebaikan untuk rakyat, kita akan pegang amanah yang rakyat mahukan.

"Saya harap Ikatan akan menjadi sebuah parti yang akan mendominasi semua kaum dan menjadi sebuah keluarga melalui nama bangsa Malaysia," katanya lagi.

Ikatan menggunakan simbol perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat tangan semasa melaungkan kemerdekaan, di tengah bulatan berwarna kuning, dan bertemakan "Bersatu Maju Adil Bahagia".

Menurut beliau juga, Ikatan ditubuhkan pada Jun 2012, tetapi menunggu lebih 2 tahun mendapatkan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS). - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Share on Myspace