Tuan Ibrahim terima dicalon Timbalan Presiden PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini.

"Saya amat terharu dan menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan saya untuk bertanding di Muktamar Pemilihan Jun ini," ujar Naib Presiden PAS itu menerusi facebook.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya amat terharu dan menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan saya untuk bertanding di Muktamar Pemilihan Jun ini.

Setelah meneliti jumlah pencalonan yang diterima dan demi merai PAS kawasan yang mencalonkan saya, maka saya akur, dan dengan rendah diri menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS ke-61.

Atas dukungan kalian, saya bersedia menggalas amanah yang berat ini bersama-sama kalian sekiranya diberi peluang oleh perwakilan di Muktamar PAS ke-61 untuk membawa PAS ke persada yang lebih tinggi.

Muktamar adalah medan menentukan hala tuju parti. Tapi sebelum itu, kita perlu bermuhasabah diri dan jujur terhadap masalah yang sedang dihadapi parti.

Kita perlu tahu di mana kita berada, sebelum kita dapat menentukan hala tuju kita seterusnya, sebagaimana kita perlu sedar matlamat kehidupan dan perjuangan kita dalam PAS.

Parti PAS hari ini semakin membesar. Di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, PAS mencapai zaman kegemilangannya dan tidak berhenti berkembang sehingga kita berjaya meningkatkan keahlian lebih sejuta ahli.

Namun begitu, PAS mesti meneruskan usaha memenangi hati rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, kawan dan lawan dengan istiqamah kita dalam perjuangan. Sikap Almarhum TG Nik Abdul Aziz yang berjaya menawan hati semua lapisan rakyat Malaysia dengan sikap tegas dan tidak berganjak beliau dengan Islam, akan tetapi lembut daripada sudut pendekatan dan dakwahnya perlu kita ikuti. Jangan melenting apabila ada mereka berbicara Islam dengan cara yang salah kerana ia adalah ruang dakwah untuk kita menerangan perkara yang betul dan tepat.

Kita harus menerima hakikat bahawa PAS juga berdepan dengan masalah dalaman, dan sekiranya ia tidak dapat ditangani dengan baik, ia akan mengakibatkan perpecahan dan melemahkan parti. Sebagai pendukung jamaah Islam, mari kita perkasakan aqidah perjuangan yang menjadi teras dalam perjuangan PAS. Tanpa kemantapan aqidah, perjalanan jamaah kita akan tergelincir dari landasan sebenar. Kekuatan jamaah berdiri atas wehdatul (kesatuan) fikr dan wehdatul amal. Amal Lillah - Amal kerana Allah.

Hentikan tindakan label-melabel, dan membeza-bezakan antara ahli PAS. Jangan ambil maklumat tepi jalan dan mudah percaya pada hantu-hantu di laman sosial yang tidak dikenali. Tindakan ini telah membuka pintu kepada musuh memporak-perandakan PAS. Ruang ini perlu ditutup rapat. Selain itu, semua ahli di semua peringkat wajib memikul amanah dalam menjaga rahsia jamaah. Ingatlah bahawa Allah melihat setiap perbuatan kita, termasuklah maklumat yang kita sebarkan.

Marilah sama-sama kita perteguhkan saf dan ukhuwah antara ahli-ahli parti serta thiqah kepada kepimpinan parti. Mari kita pulih dan tambah-baikkan segera ekosistem PAS sebagai rumah yang semua ahli berasa selesa untuk bergerak dalam satu suara dan tindakan tanpa buruk wasangka.

Di dalam politik, PAS wajib bersikap tegas dengan dasar parti dan bersifat anjal dengan strategi dan pendekatannya. Pendekatan ini juga akan menjadi teras sikap PAS dalam kerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan musuh bersama kita iaitu Umno BN di peluang terbaik kita pada PRU14 nanti.

Namun begitu, matlamat tidak menghalalkan cara. Kita boleh berunding, berbeza pandangan dengan rakan mahupun lawan tapi kita tidak akan melayan sebarang desakan untuk mengorbankan cita-cita dan dasar perjuangan parti selama ini iaitu Islam.

Sesungguhnya muafakat membawa berkat sebagaimana yang ditonjolkan di PRK Rompin dan Permatang Pauh. Di dua PRK ini, kita telah menunjukkan secara tidak sedar bahawa perbezaan antara kita bukan penghalang bagi ketiga-tiga komponen parti untuk terus bekerjasama. Setiap komponen parti wajib saling menghormati dan tidak mencabuli hak setiap parti untuk memperjuangkan dasar parti masing-masing di luar medan Pakatan Rakyat yang tidak termasuk dalam Dasar Bersama.

Kepada yang akan bertanding pada muktamar ke-61, saya mengharapkan agar kita semua memelihara akhlak jamaah. Pelihara ukhuwah kita, jangan melampau dalam keghairahan untuk memenangi apa jua jawatan. Kita hanya berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan kita sedar semua kita mesti berusaha perteguhkan jamaah sehingga Allah mengurniakan kemenangan di dunia dalam pilihan raya. Tapi itu bukan yang terpenting, kerana yang dihajatkan kita ialah kemenangan sewaktu kita semua bertemu dengan Allah nanti.

Salam Perjuangan. Senyum.
 
Tuan Ibrahim Tuan Man
15 Mei 2015

HARAKAHDAILY 15/5/2015

Share on Myspace