Rohingya: 'Ada sesiapa nampak mana Najib'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sikap berdiam diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam krisis pelarian Rohingya menyebabkan Malaysia dianggap gagal sebagai Pengerusi Asean, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau berkata, walaupun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta rantau ini mendesak Myanmar menghentikan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya, ia tidak memadai selagi Najib tidak bersuara.

“Ada sesiapa nampak mana Najib?” tanya Charles dipetik Roketkini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon hari ini mengutuk tindakan Putrajaya menghalau beribu-ribu pelarian Rohingya yang tersadai di antara Laut Andaman dan Selat Melaka.

Rohingya adalah etnik di Myanmar tetapi tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh junta tentera Myanmar.

Di mata kerajaan negara itu, etnik Rohingya tidak wujud dan dianggap pendatang dari Bangladesh.

Malah dalam bancian umum di Myanmar, Rohingya disebut sebagai etnik Benggali.

Pada 1982, Myanmar mewujudkan undang-undang kerakyatan yang mengecualikan etnik Rohingya daripada mendapat kewarganegaraan, sekaligus menafikan hak-hak mereka untuk hidup di bumi Arakan.

Masyarakat Rohingya menghadapi pelbagai penindasan sehingga ke peristiwa pembunuhan pada 2012.

Menurut Charles, apa yang berlaku kini adalah krisis kemanusiaan serantau dengan beribu-ribu pelarian Rohingya hanyut di laut dalam keadaan serba kekurangan.

Pada masa sama, katanya, ramai lagi etnik Rohingya akan diusir dari Myanmar.

“Najib sebagai ketua negara perlu menegur Myanmar supaya bertanggungjawab terhadap penganiayaan dan pembunuhan Rohingya,” kata beliau.

Justeru tegasnya, tidak ada pilihan untuk Najib selain mula membuka mulut dengan menyatakan pendirian kerajaan dalam isu ini.

Share on Myspace