1MDB: Tabung Haji jangan jadi 'pak sanggup'

| .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim segera meletakkan jawatan bagi mengelakkan dana awam terus disalahguna.

Desakan itu dibuat melalui memorandum yang diserahkan kepada pihak pengurusan Tabung Haji hari ini.

"Hari ini kita berkumpul menyatakan bantahan kita terhadap Pengurusan Tabung Haji yang telah menggunakan dana awam milik rakyat miskin dengan alasan untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Alasan tersebut adalah satu pengkhianatan yang kita tidak boleh terima, bagaimana syarikat yang penuh kontroversi dengan segala kerugian serta hutang kita ingin selamat melalui dana rakyat, ia tidak wajar dilakukan," kata Ketua Penerangan DUPP dalam himpunan aman di hadapan bangunan Tabung Haji di ibu negara.

Menurut beliau lagi, tiga perkara yang menjadi keutamaan dalam memorandum adalah membatalkan segera pengguna dana awam, mengambil tindakan segera memecat Pengerusi dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah serta membatalkan segera sebarang cadangan transaksi atau pembelian sukuk dari 1MDB.

"Tabung Haji tidak boleh hanya menjadi pak sanggup, dana rakyat harus dipelihara dan bukannnya untuk menyelamat syarikat yang bermasalah.

"Kita mahu tindakan segera diambil terutamanya memecat Abdul Azeez, jika gagal dilakukan satu himpunan lebih besar akan diadakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor yang turut hadir juga meminta kerajaan bertindak memecat Pengerusi Tabung Haji.

"Kita akan terus mengadakan bantahan jika kerajaan tidak bertindak memecat pengerusi.

"Bantahan akan diadakan seluruh negara demi menyelamat wang rakyat," jelasnya.

Dianggar hampir lima ratus orang hadir pada himpunan aman yang diadakan selepas solat Jumaat. - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Share on Myspace