'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak'

AYU DALITA PENDEK | .

KUALA LUMPUR: Ramai yang berkata perkembangan teknologi, maklumat dan komunikasi, umpamanya akses kepada Internet, mempengaruhi cara pendidikan dan pembelajaran di sekolah.
    
Seiring peredaran zaman ini, guru-guru dilihat perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat secukupnya untuk mendidik dan menyampaikan ilmu, kata Presiden Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB) Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad.
    
Tema sambutan Hari Guru tahun ini 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak' juga dilihat mengambil kira keperluan ini, iaitu dalam memastikan anak bangsa berjaya, berilmu dan berakhlak, guru-guru berperanan penting untuk menentukan cara pendidikan yang bersesuaian dengan peredaran masa.
    
Guru Besar Sekolah Kebangsaan St Thomas Kuantan Pahang itu berkata berkata zaman dahulu murid bergantung semata-mata dengan apa diberikan guru.
    
"Keadaan itu memerlukan guru menggunakan segala pengalaman yang ada kerana tiada kemudahan Internet meluas seperti sekarang," katanya kepada Bernama di sini.
    
"Bagi mengelakkan murid tidak merasa bosan dalam kelas, guru tidak boleh mengajar mengikut kaedah lama, guru juga perlu kreatif," katanya yang sudah berkhidmat selama 34 tahun.
    
Mohamed Sabri berkata soal guru yang dikatakan dibebankan dengan tugasan pentadbiran sekarang juga ada kaitan dengan perkembangan ini, kerana peningkatan pendidikan di sekolah kini dijadikan antara penanda aras kemajuan sesebuah negara di peringkat global.
    
"Jadi hanya guru yang mengajar mengetahui pencapaian murid mereka sendiri, dan lebih baik mereka menyediakan sendiri laporan prestasi pelajar," katanya.
    
Ahli jawatankuasa (AJK) Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Othman Lebar berpendapat cabaran pengajaran dan pembelajaran masa kini lebih berkait rapat dengan perubahan kehidupan.
    
Perubahan sosial, teknologi dan ekonomi, katanya, menuntut perubahan yang menyeluruh dalam aspek amalam perguruan itu sendiri.
    
Beliau berkata guru perlu menguasai perkembangan teknologi untuk memastikan peranan guru kekal relevan kerana pelajar lebih banyak terdedah serta mudah memperolehi maklumat dalam pelbagai sumber.
    
"Mahu tidak mahu cabaran itu perlu disahut para guru untuk memastikan pelajar lebih tertarik dan tidak bosan untuk mengikuti pembelajaran dalam kelas," katanya.
    
Mengenai cabaran berdepan masalah disiplin, guru perlu tangani dengan pendekatan berbeza, katanya.
    
Kini pendekatan menghukum atau mendenda tidak lagi dilihat sebagai penyelesaian terbaik sebaliknya pelajar bermasalah perlu dibantu dan dibimbing secara diplomasi.
    
Namun, masalah itu tidak wajar diletakkan pada bahu guru semata-mata, ibu bapa juga perlu membantu dalam pengurusan tingkah laku anak-anak, hubungan rapat kedua-dua pihak amat diperlukan
    
Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini menyaksikan Kedah menjadi tuan rumah dan majlis pelancarannya dijadual disempurnakan Timbalan Perdana  Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mei (esok). - BERNAMA

Share on Myspace