Rohingya: Puncanya dasar rejim Myanmar

| .

 

KAMI menegaskan bahawa penyelesaian isu pelarian etnik minoriti Rohingya dan minoriti yang lain terletak kepada dasar regim Myanmar. Selagi Myanmar terus menafikan hak kerakyatan golongan minoriti Rohingya dan yang minoriti yang lain di negara itu selagi itu isu pelarian dan pemerdagangan manusia tidak akan selesai.

Oleh itu Mapim menegaskan bahwa semua pihak antarabangsa di peringkat Asean, Majlis Keselamatan PBB, OIC serta seluruh agensi dunia yang lain seperti Suruhanjaya Hak Manusia sepatutnya menekan rejim Myanmar supaya menghentikan penafian hak kelompok minoriti dan kembalikan kerakyatan mereka.

Penafian kerakyatan inilah punca utama isu pelarian Rohingya yang cuba menyelamatkan diri dengan melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia, Thailand dan Bangladesh.

Kami berkali-kali mengesa supaya isu Myanmar dan kelompok minoriti diatasi dengan menekan regim Myanmar secara diplomatik, penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, tekanan politik dan ekonomi. Pederitaan kelompok minoriti tidak boleh diselesaikan hanya dengan rundingan diplomatik atau hanya dengan membenteras sindiket pemerdagangan manusia.

Hanya dengan tindakan undang-undang untuk menyekat penjenayah yang menyeludup pelarian dan pendatang haram ke negara jiran seperti Malaysia, Thailand dan Bangladesh tidak akan berkesan, dalam jangka masa panjang.

Kami menegaskan mesyuarat peringkat Asean dan PBB mengenai isu Rohingya mesti memberi penekanan kepada mendesak Myanmar menukar dasarnya. Rejim Myanmar tidak boleh memberi alasan bahawa isu tersebut sebagai urusan dalam negara dan pihak luar tidak boleh campur tangan.

Pelanggaran hak asasi manusia dengan membenarkan keganasan dilakukan ke atas satu kelompok minoriti dan dengan sebab itu mangsa yang dianiayai terpaksa melarikan diri ke negara jiran tidak boleh dilihat sebagai urusan dalam negara.

Kami kesal dalam soal minoriti Rohingya yang diisytihar sebagai etnik yang paling tertindas di dunia, badan anarabangsa nampaknya sangat lambat bertindak sehingga ratusan ribu etnik Rohingga telah diusir dan dibunuh sepanjang lebih 6 dekad.

Pelarian Rohingya terdedah kepada penganiayaan oleh sindiket pemerdagangan manusia sepatutnya dapat dibanteras ke akar umbi jika pihak kerajaan negara-negara di seluruh dunia mengatasi isu pokok iaitu penafian hak etnik Rohingya sebagai rakyat Myanmar.

Sudah jelas bahawa badan serantau seperti Asean ternyata tidak serius melihat isu ini selain hanya mahu memperketatkan pengawasan dan penguatkuasaan sempadan negara anggota masing-masing. Pendekatan ini bermakna negara-negara Asean tunduk kepada kezaliman rejim Myanmar dan hanya mementingkan hubungan perdagangan semata-mata.

Kami mendesak pihak Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan resolusi tindakan ketenteraan dan sekatan ekonomi dikenakan ke atas Myanmar.

Sidang khas tergempar Asean mesti diadakan untuk menekan Myanmar semua punca penindasan keatas etnik Rohingya Muslim dihentikan serte merta. - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Penulis ialah Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)

Share on Myspace