Bangkitlah para guru mempertahankan hak

NORMALA SUDIRMAN | .

Warga pendidik lebih sinonim sebagai ‘arkitek pembangunan negara’ atas jasanya membangunkan, mencorakkan dan mewarnakan hala tuju pendidikan negara bagi melahirkan generasi pelapis pada masa akan datang.

Natijahnya, banyak kejayaan telah diraih oleh mereka dalam usaha memajukan pencapaian akademik, kokurikulum, kepimpinan, akhlak dan multi disiplin ilmu dan peribadi yang terpuji.

Di tangan para gurulah terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem pendidikan rabbani.

Sudah tentunya, 'kebangkitan semangat guru untuk terus membela rakyat' yang diperjuangkan oleh para guru di seluruh Malaysia bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya, guru adalah 'agen' perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai 'kemerdekaan' tanah air. Gurulah yang membentuk 'jiwa dan minda merdeka' dari segala belenggu pemikiran negatif dalam kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.

Pendidik ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh Malaysia agar 'berani' membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara lebih terarah agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.

Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan. Beranilah menyuarakan pendapat melalui 'lisan dan mata pena' demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki hala tuju yang jelas.

Mantapkanlah jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi. - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Penulis ialah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)

Share on Myspace